MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar dalam perkembangan terbaru berkaitan pembukaan sempadan negeri mengumumkan kadar vaksinasi populasi negara ini mencapai 89.1 peratus.

Maka, hanya 0.9 peratus lagi bakal mencecah 90 peratus. Sebagaimana diuar-uarkan sebelum ini, Rakyat dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rembau itu turut mengingatkan beberapa perkara berkaitan prosedur operasi standard dan penilaian kendiri.

“0.9% sahaja lagi sehingga sempadan negeri dibuka.

“SOP sedia ada kekal di restoran, rumah ibadat, tempat awam dan lain-lain. Buat ujian kendiri sebelum balik kampung atau melancong. Tingkatkan penilaian kendiri TRIIS (ulang, hafal dan hadam)

“Sama-sama ke arah #ReopeningSafely,” ciap Khairy.

 

Terdapat lima Penilaian Kendiri Covid-19 yang disarankan beliau bagi orang ramai yang bakal merentas sempadan negeri untuk pelbagai tujuan seperti pulang ke kampung mahupun melancong.

1. TEST
Segera lakukan ujian saringan Covid-19 secara kendiri sekiranya alami simptom-simptom jangkitan seperti selesema, demam batuk dan lain-lain.

2.REPORT
Laporkan keputusan saringan secepat mungkin di aplikasi MySejahtera.

3.ISOLATE
Lakukan kuarantin atau pengasingan kendiri dengan segera dengan penuh disiplin sekiranya didapati positif.

Patuhi perintah Perintah pengawasan dan pemerhatian (Home Surveillance Order-HSO) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

4.INFORM
Segera maklumkan kepada kontak rapat sekiranya keputusan pengesanan Covid-19 positif.

Segera memaklumkan kepada pihak berwajib atau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) berhampiran sekiranya situasi kesihatan diri semakin merosot semasa menjalani kuarantin kendiri di rumah.

5.SEEK
Dapatkan rawatan segera di pusat-pusat perubatan atau CAC berhampiran sekiranya mengalami gejala berat seperti kesukaran bernafas dan suhu badan terlalu tinggi.

Iklan

Terdahulu, dalam sidang media Menteri Kesihatan semalam, Khairy turut mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara akan terus dipakai selepas kebenaran pergerakan rentas negeri.

Ia bermakna golongan yang tidak menerima vaksin masih tertakluk kepada SOP berkenaan termasuk dine-in di restoran.

Baca juga: “Lagi 1.6%…” KJ Saran Buat Ujian Kendiri Sebelum Rentas Negeri, Balik Kampung

Iklan

“SOP MKN yang sedia ada akan terus dipakai, maksud dia apa? Maksudnya kalau SOP yang sedia ada tidak membenarkan siapa-siapa yang tidak menerima vaksin untuk melakukan dine-in di restoran itu (SOP) terpakai.

“Walaupun kita akan kata hanya rentas negeri untuk mereka yang divaksinasi, tidak ada cara untuk kita mengawal pergerakan yang belum divaksinasi, saya akui, kita tidak akan ada sekatan jalan raya tetapi kalau mereka balik atau merentas negeri dan cuba makan di restoran, mereka tidak akan diberi kebebasan sedemikian,” katanya.

Mungkin ramai yang teruja dan sudah mula membuat pelbagai persiapan bagi merentas negeri. Ayuhlah kita mengamalkan lima Penilaian Kendiri Covid-19 dan sama-sama ke arah #ReopeningSafely.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sumber: Twitter @Khairykj