BUKAN sedikit, RM13,888 yang dikeluarkan oleh pengantin di Bandar Seri Jempol, Jempol, Negeri Sembilan hangus apabila syarikat katering berpangkalan di Shah Alam tidak kunjung tiba.

Kisah tular di laman sosial itu menyebabkan hati warga maya ‘panas hati’ dan berang. Abang pengantin, Najmuddin Abdul Shukor, berkata katerer terbait tidak muncul sehingga jam 11.20 malam untuk memasang meja dan kerusi.

“Bayangkan ya, katering ini di Shah Alam. 11.20 malam satu barang pun tak sampai lagi. Kosong.

“Esok kami nak kenduri, adik saya kahwin. Alhamdulillah ipar-duai dan adik beradik bantu. Kerusi ini kami pinjam dari surau. RM13,888 tetapi kami tak dapat apa-apa,” ujar pemilik akaun Abang Soyaa itu.

Melihat masa yang semakin suntuk dan tidak menerima respons daripada pihak katering, pihak keluarga mengambil inisiatif memasak sendiri sajian untuk tetamu majlis resepsi keesokan hari.

Ahli keluarga dan rakan-rakan bergotong royong bermula tengah malam.

Seorang lagi abang pengantin perempuan, Burhanuddin Rabbani Abdul Shukor, tampil memohon maaf kepada tetamu susulan mereka terpaksa menjamu juadah seadanya. Perkongsianya tular di laman sosial Facebook.

Menurutnya, selepas majlis akad nikah adiknya, dia ke dewan majlis untuk melihat persiapan, namun hanya ada pelamin sahaja, tiada meja dan kerusi untuk tetamu.

“Kami telah menjadi mangsa penipuan pihak katering yang ditempah adik kami. Banyak kali kami cuba telefon tetapi tiada maklum balas. Jumlah tempahan yang dah dibuat untuk 1,000 orang. Pening kami nak fikir.

“Justeru, ami tunggu hingga jam 9 malam (malam sebelum majlis) memang tiada respons, jadi kami sembilan beradik ambil keputusan untuk masak sendiri.

“Pun begitu, kami hanya mampu siapkan dalam anggaran 400 tetamu. Itu pun sekadar lauk ayam gulai, sambal belacan, buah dan ulam-ulaman,” katanya.

Baca juga: Tak semestinya berijazah hantaran RM10,000, enggan berhutang untuk kahwin perkongsian wanita ini raih pujian netizen

Dia berkata, mereka sekeluarga terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan bagi mencari meja, kerusi, periuk besar dan barang-barang untuk memasak lauk majlis perkahwinan adik ketujuhnya itu.

“Maka, kami harungi hari besar adik kami dengan sebaiknya, kami susun semua kerusi meja sendiri, dalam kesedihan kami atasi semuanya dengan semangat. Kami yakin kami boleh buat semua ini.

“Alhamdulillah semalam (majlis) semuanya berjalan dengan baik walaupun hanya dengan ada satu lauk hidangan. Ada yang datang menaja apam balik, popcorn, kuih muih. Semua datang dan buat dengan penuh kasih sayang.

“ALLAH Maha Kaya, walaupun majlis dah berakhir tapi lauk-pauk masih ada, syukur semuanya cukup. Terima kasih semua yang hadir. ALLAH beri kami ujian sesuai kemampuan kami. ALLAH uji kami sebab ALLAH sayang kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya laporan polis telah dibuat oleh adiknya dan mereka sekeluarga menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut selain berharap kejadian seperti itu tidak berlaku pada pihak lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Baca juga: Dipaksa pinjam RM40,000 demi majlis kahwin gah, wanita sedih lihat suami tungkus lumus bayar hutang

CHECKLIST PENGANTIN MENJELANG HARI BAHAGIA

SinarPlus ingin berkongsi checklist yang boleh digunakan sebelum majlis nikah. Nanti bakal pengantin tidak pening kepala lagi nak fikir apa yang perlu dibuat.

A. 12 bulan sebelum majlis perkahwinan;

1. Kenal pasti lokasi majlis

2. Tetapkan tema majlis

3. Hadiri pameran dan ekspo pengantin, boleh mendapatkan maklumat vendor seperti;

  • Pakaian pengantin
  • Pelamin
  • Kanopi
  • Photographer
  • Videographer
  • Katering

B. 9 bulan sebelum

1. Hadiri ‘food testing’

2. Buat bayaran deposit untuk vendor

3. Tempah baju kahwin dan baju tema keluarga

Baca juga: Sanggup ikat perut demi majlis kahwin gah, ketahui mahar terbaik dalam Islam

Baca juga: Asing pengantin, tetamu lelaki & perempuan, majlis perkahwinan ikut syarak jadi inspirasi, jaga pergaulan

C. 6 bulan sebelum

1. Hadiri kursus perkahwinan

2. Lakukan ujian HIV dan talasemia

3. Rancang dan beli barang-barang hantaran

4. Mula tempah katering.

D. 3 bulan sebelum

Iklan

1. Sediakan borang dan dokumen penting;

  • Salinan kad pengenalan
  • Borang permohonan nikah
  • Borang saksi permohonan nikah
  • Surat perakuan bujang
  • Laporan ujian HIV dan talasemia
  • Borang nikah luar kawasan
  • Sijil kursus kahwin
  • Sijil nikah ibu bapa pengantin perempuan
  • Surat mastautin

2. Tempah kad jemputan, bunting dan doorgift.

3. Beli cincin dan barang kemas.

4. Follow up dengan katering.

Baca juga: Hantaran kahwin punca tiga wanita di India tamatkan riwayat hidup. Ini kronologi kejadian

E. 1 bulan sebelum

1. Hantarkan kad jemputan.

2. Tempah tempat penginapan untuk keluarga belah pengantin lelaki.

F. 2 minggu sebelum

1. Penjagaan diri (rawatan muka, rambut, badan dan spa).

2. Follow up dengan vendor.

3. Follow up dengan katering.

G. 1 hari sebelum

Iklan

1. Persiapan pakaian perkahwinan.

2. Pastikan vendor hadir dan deliver.

3. Follow up dengan katering.

4. Bahagikan tugasan kepada ahli keluarga dan tidur awal.

H. Hari majlis

1. Ambil sarapan.

2. Bertenang.

3. Bersiap dan datang awal tempat akad nikah atau dewan bersanding.

Kepada bakal pengantin baru, cuba sedaya upaya sediakan checklist seperti ini untuk mengelakkan sebarang masalah pada hari bahagia anda.

Moga bakal pengantin tidak melalui detik mengerikan apabila katering tidak datang menghantar juadah untuk tetamu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!