Sedekah paling afdal berilah kepada adik-beradik susah, paling tinggi kedudukan

SEDEKAH adalah suatu amalan yang sangat mulia di sisi Islam.

Setiap sedekah yang dihulurkan, pasti akan diberikan ganjaran yang tidak terhingga, malah dosa kita juga turut terhapus disebabkan sedekah itu.

Selain itu, sedekah juga akan memberi keberkatan kepada harta kita. Dengan adanya nilai barakah, harta yang sedikit seolah-olah dirasakan banyak dan mencukupi.

Jika sebaliknya, harta yang banyak dirasakan seakan-akan sempit serta tidak mencukupi meskipun memiliki segunung emas.

Namun, tahukah kalian sedekah yang lebih afdal adalah kepada adik-beradik dan ahli keluarga.

Carilah adik-beradik yang susah dan memerlukan, dahulukan mereka sebelum kita berikan kepada orang luar.

Menurut Penceramah bebas terkenal, Ustaz Wadi Annuar, sedekah kepada ahli keluarga lebih afdal daripada memberi ke tabung masjid, orang miskin dan fisabilillah.

“Sebab orang bila ada duit kalau dia nak sedekah, sedekah yang paling afdal, lebih afdal daripada dia bagi duit ke tabung masjid, lebih afdal daripada dia bagi duit kepada orang miskin bukan yang adik-beradik, lebih afdal daripada dia bagi duit fisabilillah…

“Nabi kata sedekah yang kamu berikan untuk ahli keluarga kamu lebih utama daripada keseluruhan sedekah itu.

“Cari adik-beradik yang miskin dulu, baru pindah bagi dekat jiran, baru pindah bagi dekat orang yang kita tak kenal, baru bagi dekat masjid dan sebagainya.

“Kerana ahli keluarga yang susah, maka pahala dan fadhilat dia jauh lebih besar,” ujarnya dalam perkongsian di Telegram Ceramah Ustaz dan Ustazah.

Baca juga 10 perkara penting perlu dibuat segera bila ada ahli keluarga meninggal dunia

Gambar fail.

Selain itu, kata Ustaz Wadi atau nama sebenarnya Mohamad Wadi Annuar Ayub, sedekah seorang suami kepada isteri dan anak-anak juga adalah pada kedudukan yang tinggi.

“Maka suami-suami, jangan rasa rugi setiap ringgit yang diberikan kepada isteri dan anak-anak kerana itu adalah antara yang paling tinggi daripada kedudukan sedekah-sedekah yang ada,” pesannya.

Iklan

Sementara itu, ini bentuk-bentuk sedekah yang boleh dilakukan;

1. Daripada Jabir RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kebaikan adalah sedekah.” (Riwayat al-Bukhari)

– Hadis itu memberikan indikasi kepada kita bahawa konsep sedekah amat luas. Apa sahaja kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas, pasti akan dihitung sebagai amal soleh dan diberikan ganjaran pahala di sisi ALLAH SWT.

Baca juga Jodoh tak panjang, ini perkara penting buat pasangan bercerai ambil tahu

2. Antara bentuk sedekah yang boleh kita lakukan adalah sama ada berbentuk fizikal seperti duit, makanan dan minuman, pakaian, nafkah, pembayaran bil utiliti di masjid serta sebagainya.

Iklan

3. Selain itu, kita juga boleh bersedekah dalam bentuk bukan fizikal seperti senyuman, bantuan kepada yang memerlukan, mengajarkan ilmu bermanfaat dan seumpamanya.

4. Dengan kecanggihan teknologi, amalan sedekah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui online, pemindahan wang online dan aplikasi seperti E-Infaq.

Semoga bermanfaat!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.