SETIAP manusia pastinya diberikan nikmat dan rezeki daripada ALLAH SWT dalam kehidupan seharian.

Pelbagai nikmat pemberian yang diberikan oleh-NYA kepada setiap hambanya dengan kaedah dan jenis yang berbeza.

Sebagai seorang yang beriman, kita perlu mengakui bahawa segala pemberian daripada ALLAH SWT kepada adalah bersifat sementara.

Bila-bila masa sahaja jika DIA mengkehendakinya, maka nikmat itu akan serta- merta ditarik.

Begitu juga dengan rezeki kemewahan dan wang ringgit yang dikurniakan kepada kita, sama sahaja bersifat pinjaman daripada ALLAH YANG MAHA KAYA.

Banyak mana sekalipun duit yang kita ada kita atau mewah mana pun kehidupan kita, semua itu adalah dengan izin dari ILAHI.

Oleh yang demikian, janganlah kita bersifat sombong dengan bangga diri terhadap kekayaan harta dan wang ringgit yang dimiliki.

Sebaliknya, kelebihan rezeki yang kita peroleh itu perlu disalurkan ke jalan ALLAH SWT dengan bersedekah dan berwakaf semata-mata untuk mendapat keredaan serta rahmat daripada-NYA.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik baik kamu dan ALLAH akan menghapuskan daripada kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), ALLAH MAHA MENGETAHUI secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 271)

Apabila kita mengetahui dan meyakini bahawa dalam setiap rezeki pemberian ALLAH SWT itu ada juga milik orang lain, pastinya kita tidak kisah untuk membelanjakannya ke jalan-NYA dengan penuh keikhlasan. Tambahan lagi, jika kita yakin kepada apa sahaja yang diberikan-NYA, maka kita tidak akan risau untuk kehilangan rezeki yang ada pada kita selama ini.

Yakin dan percaya kepada janji ALLAH SWT bahawa mereka yang rajin untuk bersedekah dan berinfaq ke jalan-NYA, mereka tidak akan sesekali jatuh miskin.

Sebaliknya, ganjaran pahala kebaikan menanti mereka yang digelar dermawan ini. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan ALLAH dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat tinggi yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah) ALLAH sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 265)

SALURAN

Ramai dalam kalangan masyarakat menyedari dan mengetahui bahawa bersedekah itu banyak memberi kebaikan serta ganjaran mereka.

Namun, ada sebilangan daripada golongan ini yang lebih gemar untuk berlengah-lengah mahupun bertangguh dalam melakukan amalan kebaikan ini.

Sedangkan banyak saluran yang boleh digunakan untuk terus bersedekah dan berwakaf, hanya diri kita sendiri yang menentukannya.

Tambahan lagi, dengan era teknologi yang begitu canggih, pelbagai kaedah boleh diguna pakai oleh mereka yang ingin terus menerus dalam berinfak.

Antaranya adalah melalui perbankan internet, sistem pengesan kod dan pelbagai kemudahan lain lagi.

Selain itu, di masjid-masjid mahupun surau-surau juga terdapat kemudahan yang selari dengan teknologi terkini seperti yang dinyatakan tadi, selain dikekalkan juga tabung-tabung untuk memudahkan jemaah untuk terus bersedekah.

Di samping itu juga, di institusi pengajian tinggi terdapat unit yang menguruskan zakat, sedekah dan wakaf bagi memberi ruang kepada warga kampus untuk terus melakukan kebaikan yang mulia di sisi ALLAH SWT.

Mahasiswa yang dikategorikan sebagai asnaf untuk layak mendapat bantuan zakat juga akan memperoleh manfaat hasil daripada sumbangan warga serta masyarakat sekitarnya.

Usahlah kita risau dan khuatir tentang wang yang dibelanjakan kita itu kerana badan-badan dan individu-individu yang telah dipertanggungjawabkan akan menguruskan wang sedekah kita dengan memegang amanah sebaiknya.

Iklan

Apa yang perlu, kita ikhlas dan yakin dengan amalan bersedekah dan berwakaf ini akan dapat menghapuskan dosa-dosa kita serta memberikan ganjaran kebaikan di dunia mahupun akhirat.

Jika kita berwakaf sudah tentu ganjaran pahalan itu akan terus berkekalan selagi mana dimanfaatkan ke arah kebaikan, walaupun hayat kehidupan kita tiada lagi di muka bumi ini. Apatah lagi, apabila kita berada di dalam bulan Ramadan al-Mubarak, sudah tentu segala amalan kebaikan akan diberikan ganjaran berlipat ganda oleh ALLAH SWT termasuklah amalan bersedekah dan berwakaf ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya segala amalan keculai tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak soleh yang mendoakan baginya.” (Hadis Riwayat Al Nasa’i, Al-Tirmizi dan Abu Daud)

ILMU

Dari sudut lain pula, sedekah bukan hanya dalam bentuk mata wang sahaja tetapi hadir dalam bentuk penyebaran ilmu.

Apabila seseorang itu mempelajari dan mengajar ilmu yang ada kepada mereka yang tidak mengetahuinya adalah sebaik-baik sedekah yang mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja, dengan syarat rajin untuk menuntut ilmu ALLAH SWT yang sangat luas ini.

Semakin banyak ilmu yang kita pelajari, semkain banyaklah sedekah yang boleh kita laksanakan.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seafdhal-afdhal sedekah ialah seorang Muslim itu mempelajari suatu ilmu kemudian dia mengajar saudara Muslimnya yang lain.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Iklan

Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama menanam kesungguhan di dalam hati untuk terus bersedekah dan berwakaf dengan mengharapkan agar segala yang kita infaqkan itu akan diberkati dan dirahmati ALLAH SWT.

Yakinilah kepada janji ALLAH SWT kepada mereka yang sentiasa berkongsi rezeki bersama-sama dengan mereka yang memerlukan. Jangan sesekali menganggap dengan sedekah dan berwakaf, kita akan hidup miskin atau harta kita semakin berkurangan.

Sebaliknya, dengan kebaikan itu sebenarnya memberi peluang kepada kita untuk terus mendekatkan diri kepada-NYA SWT kerana kita tahu segala yang ada bersama dengan kita pada hari ini adalah milik Allah.

Maka, kita manfaatkan dengan sebaiknya agar kehidupan kita tidak terus leka dan lalai dengan kemewahan dunia yang boleh menyesatkan kita daripada terus mengingati YANG MAHA ESA.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang memebelanjakan hartanya pada jalan ALLAH ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) ALLAH akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya dan ALLAH MAHA LUAS (rahmat) kurnia-NYA lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 261)

 

RAFIUDDIN MOHD YUSOF
Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan merangkap Ketua Unit Hal Ehwal Islam, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat