SEMUA aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan di kawasan terbuka dan tertutup secara latihan bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri kini dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi penjarakan fizikal satu hingga tiga meter.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah bersetuju dengan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi oleh kementerian berkenaan.

Selain itu, lebih banyak kelonggaran diberikan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) seperti sukan berpasukan serta penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan mengikut model gelembung sukan dengan kelulusan KBS.

Fasiliti sukan seperti padang bola sepak, kolam renang dan pusat boling boleh beroperasi di semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Berikut adalah butiran SOP terbaharu dikemaskini (19 Februari 2021) mengikut kawasan:

diet
SENAMAN secara konsisten juga membantu menurunkan berat dengan cepat dan sihat.

Kawasan PKP

1. Aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal yang dijalankan di kawasan terbuka dan tertutup secara latihan bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri adalah dibenarkan.

2. Aktiviti sukan dan rekreasi mestilah mematuhi penjarakan fizikal 1–3 meter.

3. Pergerakan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa.

4. Pengoperasian fasiliti/ premis tertutup dan separa tertutup hendaklah mempunyai kawalan penyeliaan sepanjang tempoh operasi.

5. Penganjuran kejohanan/ pertandingan/perlawanan persahabatan mengikut model Gelembung Sukan adalah terhad bagi penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) sahaja tanpa kehadiran penonton/ penyokong.

6. Program Latihan Berpusat secara kuarantin bagi pasukan-pasukan dalam MFL, MHL dan STL menggunakan model Gelembung Sukan (Sports Bubble: Home Based Training atau Camp Based Training).

7. Program Latihan Berpusat secara kuarantin yang sedia ada dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara dan Majlis-Majlis Sukan Negeri dilaksanakan dengan konsep “Camp Based Training”.

8. Aktiviti bersentuhan fizikal dan permainan/ perlawanan termasuk penganjuran kejohanan/ pertandingan adalah dilarang kecuali penganjuran Liga MFL, Liga MHL dan Liga STL yang telah mendapat kelonggaran khas daripada KBS.

Iklan

9. Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, Fun Ride, marathon dan triathlon adalah dilarang.

joging lari

Kawasan PKPB

1. Semua aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan/ perlawanan.

2. Penganjuran kejohanan/ pertandingan tempatan dibenarkan dengan kelulusan KBS mengikut model Gelembung Sukan (Sports Bubble) yang telah ditetapkan.

3. Penganjuran kejohanan antarabangsa tidak dibenarkan kecuali dengan kelulusan khas KBS.

4. Kehadiran penonton/penyokong adalah tidak dibenarkan untuk semua aktiviti sukan dan rekreasi.

5. Pengoperasian fasiliti/premis tertutup dan separa tertutup hendaklah mempunyai kawalan penyeliaan sepanjang tempoh operasi.

6. Pergerakan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa.

7. Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, Fun Ride, marathon dan triathlon tidak dibenarkan.

Baca juga Dah boleh bercuti! Orang ramai diseru melancong kawasan setempat PKPB, PKPP

jogingKawasan PKPP

1. Semua aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan/ perlawanan dan penganjuran kejohanan/ pertandingan tempatan tanpa kehadiran penonton/penyokong.

Iklan

2. Penganjuran kejohanan antarabangsa tidak dibenarkan kecuali dengan kelulusan khas KBS.

3. Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, Fun Ride, marathon dan triathlon tidak dibenarkan.

Maklumat lanjut dan terkini mengenai SOP tersebut juga boleh diperolehi di laman web KBS melalui pautan http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi.

Sama-samalah kita menjaga kesihatan daripada segi pemakanan dan gaya hidup. Ayuhlah berekreasi, bersukan dengan sihat serta terus amalkan SOP ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19.