Seronok membeli juadah berbuka di bazar, awas risiko keracunan!
PADA bulan Ramadan ini, ramai yang memilih untuk membeli makanan di bazar kerana terdapat banyak pilihan dan semuanya nampak enak di mata.
Setelah seharian penat bekerja, bazar Ramadan dianggap sebagai penyelamat kerana isteri-isteri tidak perlu bersusah payah untuk memasak di rumah.
Selain bazar Ramadan, ada juga peniaga yang menjalankan perniagaan makanan dari rumah.
Makanan siap dimasak sama ada dihantar sendiri oleh peniaga atau menggunakan khidmat penghantaran.
Namun, masih ingatkah korang semua tentang tragedi puding buih pada bulan Ramadan tahun lalu?
Mengikut laporan, seramai 99 orang telah mendapatkan rawatan akibat keracunan makanan selepas memakan puding buah yang dibeli.
Lebih menyedihkan, seorang daripada mangsa meninggal dunia akibat mengalami komplikasi yang teruk.
Menurut Pakar Mikrobiologi Klinikal, Profesor Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), fakta paling penting tentang keracunan makanan ialah ia boleh dielakkan dengan mengamalkan tata cara penyediaan dan pengendalian makanan yang betul.
"Keracunan makan boleh terjadi disebabkan oleh penyediaan makanan yang tidak sempurna dan tidak bersih."Telur dan daging ayam misalnya, berisiko untuk menyebabkan jangkitan oleh bakteria Salmonella.
"Apabila telur atau daging ayam tidak dicuci bersih dan dimasak sempurna, seseorang boleh mendapat keracunan yang dinamakan Salmonellosis.
"Contoh bakteria lain ialah Staphylococcus Aureus yang selalunya berkaitan dengan makanan seperti kuih kastad dan puding.
"Jangkitan Bacillus cereus adalah berkaitan dengan nasi goreng terutamanya yang disimpan lama.
"Kuman jenis Campylobacter Jejuni pula boleh disebabkan oleh memakan daging yang mentah atau separa masak," katanya.
Kata Dr Nurul Azmawati lagi, satu lagi penyakit yang berkaitan dengan makanan ialah penyakit demam kepialu atau tifoid.
"Kuman Salmonella Typhi, penyebab jangkitan tifoid disebarkan daripada seorang individu kepada individu yang lain melalui tangan yang dicemari oleh najis."Pemeriksaan ke atas najis pembawa kuman ini mendapati bahawa ia boleh mengandungi bakteria Salmonella Typhi.
"Sekiranya pembawa kuman tersebut tidak mencuci tangan dengan bersih selepas membuang air besar, risiko untuk menyebarkan bakteria kepada orang lain sekiranya dia mengendalikan makanan adalah amat tinggi," ujarnya.
Selain itu, menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani di universiti yang sama, bagi pencegah penularan jangkitan tifoid, pihak berkuasa mengambil langkah proaktif sejak berpuluh tahun yang lalu dengan mewajibkan semua peniaga berdaftar dan pekerja-pekerja pengendali makanan untuk mendapatkan suntikan vaksin tifoid.
"Walaubagaimapun ianya bukanlah bermaksud kita tidak berisiko untuk mendapat keracunan makanan sekiranya membeli daripada peniaga berlesen."Bagaimana pula dengan jangkitan lain seperti jenis-jenis Salmonella yang lain, Bacillus cereus dan Staphylococcus areus?
"Ini adalah kerana vaksin untuk jangkitan-jangkitan ini tidak diberikan kepada pengendali makanan," katanya.
Bagaimana pula dengan mereka yang menjual dari rumah?
Adakah mereka berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pengendali dan penyedia makanan?
Ramai di kalangan mereka yang berniaga di rumah adalah daripada kalangan peniaga sambilan yang rata-rata berniaga kecil-kecilan untuk menambah pendapatan keluarga.
Justeru, dua doktor tersebut sepakat menyarankan beberapa langkah bagi pembeli makanan untuk mengurangkan risiko keracunan makanan, bukan sahaja semasa bulan Ramadan, tetapi juga boleh dijadikan panduan sepanjang masa;1. Memasak sendiri di rumah, rancang menu korang serta buat persediaan awal.
2. Tidak membeli makanan yang telah dikenalpasti rosak seperti berbau, berbuih dan berubah tekstur.
3. Tidak membeli makanan berisiko seperti puding buih dan kek tiramisu yang menggunakan telur mentah sebagai bahan.
4. Sekiranya penjual makanan tidak menggunakan penyepit makanan untuk memindahkan kuih atau makanan daripada bekas ke plastik pembungkus, jangan teruskan pembelian korang!
5. Lihat tangan dan kuku pengendali makanan. Sekiranya kuku mereka panjang, memakai aksesori yang keterlaluan seperti cincin dan gelang tangan semasa mengedalikan makanan, beli makanan daripada penjual lain.
6. Pastikan pengedali makanan korang memakai penutup kepala.
7. Untuk makanan seperti nasi kerabu, jangan beli daripada pengendali makanan yang menggunakan tangan untuk memecahkan keropok dan mengambil ulam-ulaman.
8. Beli hanya daripada peniaga makanan yang memaparkan lesen pengendali makanan mereka termasuk pengesahan suntikan vaksin tifoid.
9. Tanya penjual makanan, bilakah makanan tersebut dimasak? Elakkan membeli makanan yang telah dimasak terlalu lama.
10. Jangan beli sekiranya makanan tersebut dalam keadaan terdedah. Ini berisiko untuk mendapat jangkitan bawaan lalat, pencemaran silang ataupun tercemar dengan bendasing.
Baca juga SOP iftar dan sahur: Hanya makanan siap bungkus, bufet seliaan pramusaji dibenar
Bagi peniaga yang menjalankan perniagaan di rumah, dinasihatkan juga untuk mendaftar dengan pihak berwajib.
Apabila telah mendaftar, korang akan mengikuti kursus asas pengendalian makanan dan mendapat suntikan vaksin tifoid.
Ini adalah untuk memastikan makanan yang dibeli oleh pelanggan berkualiti, disediakan dengan selamat dan mengurangkan risiko keracunan makanan.
Disamping itu, doktor tersebut turut mencadangkan kepada kerajaan agar mewajibkan kursus pengendalian makanan serta mendapatkan vaksin tifoid kepada penghantar-penghantar makanan bermotosikal atau berkereta seperti penyedia perkhidmatan Grab Food, Food Panda san sebagainya.
Justeru, korang boleh memilih makanan yang disediakan selamat sebagai juadah berbuka.
Selain kekal sihat untuk berpuasa pada hari berikutnya, korang juga boleh mengelakkan risiko keracunan makanan.
Ingat! Keracunan makanan yang serius boleh membawa maut.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang