Jangan lupa follow kami di Instagram!

HARI ini proses vaksinasi mencatatkan bahawa Wilayah Persekutuan Labuan merupakan negeri pertama di Malaysia mencapai imuniti kelompok.

Ia berikutan 80 peratus golongan dewasa di negeri tersebut telah menerima dua dos suntikan vaksin yang membantu mencegah penularan Covid-19.

Dimaklumkan, seramai 54,800 daripada 68,500 penduduk dewasa di Labuan yang disenaraikan layak untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah disuntik vaksin.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Labuan menyifatkan bukan mudah melaksanakan program vaksinasi itu, tetapi berkat kerjasama berpasukan dan sokongan orang ia berjalan lancar.

Menurut Pengerusi CITF Labuan Rithuan Ismail, sebanyak 80 peratus bersamaan 54,800 individu dewasa selesai menerima dua dos vaksin.

“Kami gembira dapat mencapai imuniti kelompok tiga hari lebih awal daripada tarikh sasaran pada 30 Julai 2021.

“Pencapaian itu adalah kejayaan penduduk di pulau ini yang peka terhadap kepentingan vaksinasi Covid-19 termasuk kerja berpasukan petugas khas dan sukarelawan Privo Team (Prihatin Volunteers).

“Direkodkan, jumlah penduduk yang divaksin pada bulan Jun kurang daripada 14,000, tetapi jumlah meningkat kepada 40,800 dalam masa 37 hari dan terus meningkat hari ini,” katanya kepada Bernama di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.

PICK Labuan dilancarkan pada 27 Februari lalu oleh Senator Datuk Bashir Alias yang menjadi individu pertama di sana menerima dos pertama.

Baca juga Covid-19: Pendaftaran vaksin untuk kanak-kanak, remaja kini dibuka. Ini cara mudah untuk menempah janji temu buat mereka

SinarPlus kongsikan 10 fakta menarik mengenai Labuan:

1. Keluasan Wilayah Persekutuan Labuan ialah 91.64 kilometer (km) persegi.

2. Ia adalah sebuah pulau yang terletak sekitar 10kmdari pantai Sabah dan 30km dari pantai Brunei.

Iklan

3. Penerbangan ke Labuan dari Kuala Lumpur memakan masa lebih kurang dua jam setengah.

4. Labuan diisytiharkan pusat kewangan luar pantai (offshore financial centre) pada tahun 1990.

5. Ia juga diiktiraf sebagai pelabuhan bebas cukai sejak tahun 1956.

6. Ibu negeri bagi Wilayah Persekutuan Labuan adalah bandar Victoria.

7. Selain Pulau Labuan, terdapat lima pulau kecil di sekitarnya iaitu Pulau Papan, Pulau Burong, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar.

Iklan

8. Wilayah Persekutuan Labuan terbahagi kepada 27 kampung.

9. Etnik Melayu Brunei Kadayan adalah majoriti di Labuan. Selain itu terdapat juga etnik Kadazan-Dusun, Rungus, Murut dan Lun Bawang-Lundayeh, Cina, India dan lain-lain.

10. Antara lokasi menarik di Labuan ialah Pantai Layang-Layang, Taman Damai & Tugu Penyerahan Jepun. The Bird Park Labuan dan Taman Laut Labuan.

Sumber: Bernama, Wikipedia

Foto: International Wealth, Labuan INS International Trust Ltd