SEMALAM, tular satu perkongsian daripada seorang lelaki di Facebooknya yang mana makanan yang telah siap dimasak dan telah disejuk beku.

Namun demikian, ramai yang tertanya-tanya mengenai ketahanan dan kualiti makanan tersebut.

Mengulas mengenainya, Pensyarah Kanan Kimia dan penyelidik UiTM, Dr Fatimah Salim berkata, pendekatan individu berkenaan bagus kerana mudah, cepat dan menjimatkan.

“Apa lagi untuk mereka yang mempunyai rutin kehidupan yang sibuk dan suami isteri yang mana kedua-keduanya bekerja,” tulis Dr Fatimah melalui Facebook beliau.

Kata pensyarah itu, beliau sendiri biasa membekukankan makanan yang berlebihan termasuklah nasi, sup, lauk-pauk dan sayur-sayuran.

“Bukan apa, saya juga suka dan rajin masak. Cuma ada masanya keadaan terdesak, kehabisan bahan mentah masakan atau ‘meraikan’ sisi malas, makanan siap masak beku ini adalah penyelamat,” beritahu beliau.

Sebenarnya, makanan siap masak yang disejuk beku boleh bertahan sehingga dua hingga enam bulan bergantung kepada jenis bahan masakan dan keupayaan mengekalkan suhu peti sejuk.

Menariknya, nutrisi makanan sedia ada juga kekal.

Menjawab kepada satu soalan lain, ujar Dr Fatimah, selepas tempoh itu, stabiliti komponen masakan akan mula terganggu dan kualitinya akan berkurangan.

“Keadaan tersebut boleh dipastikan melalui pemerhatian sendiri apabila rupa, warna dan struktur makanan telah berubah daripada yang asal, namun demikian makanan tersebut masih lagi selamat untuk dimakan.

“Kita harus faham yang makanan boleh basi atau rosak disebabkan aktiviti bakteria atau pertumbuhan kulat (kuman) dan tindak balas kimia yang berlaku pada komponen makanan.

“Kuman ini boleh datang daripada udara, tangan dan peralatan yang digunakan dalam pengendalian makanan yang telah dimasak,” tambah Dr Fatimah.

Untuk pengetahuan semua, suhu sejuk dalam peti sejuk beku (air menjadi ais) akan merencatkan aktiviti kuman dan memperlahankan tindak balas kimia dalam makanan, maka makanan akan tahan lebih lama.

Ketahuilah kebanyakan jenis makanan siap masak atau mentah termasuklah sayur-sayuran dan buah-buahan boleh dibekukan untuk meningkatkan jangka hayatnya.

Iklan

Pengekalan kualiti terutamanya rupa dan tekstur makanan yang dibekukan adalah bergantung kepada jenis makanan itu sendiri, katanya.

“Bagi mengekalkan kualiti, elakkan menyahbeku berulang-ulang kali makanan yang sama.

“Caranya, elok bungkus dan simpan dalam bekas iaitu memadai untuk sekali makan,” pesan Dr Fatimah.

Bukan itu sahaja, antara panduan lainnya, keluarkan makanan lebih awal untuk menyahbeku sebelum dipanaskan untuk mengekalkan struktur makanan.

Iklan

“Kita kena tahu, kapasiti ruang peti sejuk beku di rumah sebenarnya memang untuk penyimpanan. Pastikan juga kandungannya lebih teratur untuk mengelak masalah pencemaran silang yang mungkin akan berlaku, terutamanya yang tidak memerlukan pemanasan seperti ais batu, “jelasnya.

Baca juga Air detoks bantu elak minuman manis, bukan jalan singkat untuk kurus

Pencerahan daripada Dr Fatimah sememangnya merungkai banyak ketidakpastiaan dalam kalangan kita. Jadi, jelas ya?

Ingat,makanan yang telah siap dimasak mampu tahan lama di samping kualiti dan nutrisinya turut terpelihara. Semoga bermanfaat.

Foto: Facebook Nas Nim