Tak salah tarawih di masjid tapi tempat solat terbaik wanita adalah di rumah, 6 info perlu tahu

UMAT Islam termasuk wanita tidak melepaskan peluang untuk melipat-gandakan ibadat pada bulan Ramadan ini termasuk menunaikan solat sunat tarawih.

Muncul setahun sekali, ramai yang mengambil peluang mengerjakan solat tarawih. Namun timbul persoalan di manakah tempat yang paling afdal bagi wanita dalam menunaikan solat tarawih iaitu sama ada rumah atau di masjid?

Tidak dinafikan ramai wanita turut serta ke masjid bersama suami dan berasa lebih bersemangat sekiranya bersolat di masjid.

Apatah lagi apabila pahala solat berjemaah adalah 27 kali ganda daripada solat bersendirian di rumah.

Baca juga: Solat tarawih sedangkan solat fardu belum diqada? Ini jawapan agamawan

Gambar hiasan (Kredit foto: Sinar Harian)

Persoalan dijawab Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sekali gus memberikan pencerahan berkaitan isu ini.

“Tempat solat terbaik bagi wanita adalah di rumah, namun Islam tidak melarang mereka pergi ke masjid terutamanya untuk solat berjemaah pada bulan Ramadan. Namun keharusan ini terikat dengan syarat selamat daripada fitnah.

“Justeru, para wanita yang telah berkahwin perlu mendapat keizinan suami, tidak tabarruj dan sentiasa menjaga adab sebagai seorang Muslimah semasa pergi ke masjid,” katanya ringkas.

Ia adalah berdasarkan satu hadis Rasulullah SAW:

صلاةُ المرأةِ في بيتها أفضلُ من صلاتها في حُجْرَتِها، وصلاتُها في مخدَعِها أفضلُ من صلاتها في بيتها

Maksudnya: “Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih afdal daripada solat di halaman rumahnya dan solat di bilik tidur / bilik persendirian adalah lebih baik daripada solat di rumahnya.” (Riwayat Abu Daud)

Baca juga: ‘Saya cari imam solat tarawih di rumah’- Neelofa kongsi kisah cinta berputik

Gambar hiasan (Kredit foto: Bernama)

Berikut enam info penting berkenaan tempat solat wanita yang terbaik dan bagaimana

1-Imam al-Nawawi menyatakan bahawa dengan larangan yang dimaksudkan tersebut ialah makruh tanzih.

2-Hal ini kerana keadaan wanita pada zaman itu mengamalkan tabarruj dalam berhias, justeru solat di rumah adalah lebih baik bagi wanita bagi mengelak fitnah

Iklan

3-Walaupun rumah ialah tempat terbaik bagi seorang wanita melaksanakan solat, namun Islam tidak menghalang wanita untuk pergi ke masjid. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

لا تمنعوا إماءَ الله مساجدَ الله، ولكن لِيَخرُجْنَّ وهنَّ تَفِلاتٌ

Maksudnya: “Janganlah kamu melarang hamba-hamba ALLAH dari kalangan wanita untuk pergi ke masjid, tetapi mereka boleh keluar dalam keadaan tidak memakai wangi-wangian.” (Riwayat Abu Daud)

Gambar hiasan (Kredit foto: Bernama)

4-Melihat kepada keadaan kini, kita dapati wanita keluar solat di masjid lebih selamat daripada fitnah berbanding keluar ke tempat-tempat awam yang lain seperti pusat membeli-belah atau aktiviti sukan di pusat sukan. Fitnah di tempat-tempat tersebut lebih besar dan perlu lebih berjaga-jaga berbanding fitnah bagi wanita ketika solat jemaah di masjid.

5-Kelebihan melaksanakan ibadah secara berjemaah di masjid turut boleh dinikmati oleh wanita, lebih-lebih lagi untuk mengejar fadilat dan pahala solat tarawih berjemaah. Mendengar bacaan imam yang dapat memberikan motivasi dan semangat untuk melaksanakan ibadah pada setiap malam Ramadan.

6-Namun begitu perlu diingatkan terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh wanita atau isteri untuk solat di masjid antaranya adalah seperti berikut;
• Mendapat keizinan daripada suami
• Menjaga aurat dan tidak berhias-hias (tabarruj)
• Memelihara pandangan
• Tidak memakai wangi-wangian
• Tiada percampuran lelaki dan perempuan
• Segera pulang ke rumah setelah selesai solat

Iklan

Moga info ini memberi manfaat!

Baca juga: Tak sedar datang haid, nampak darah lepas berbuka, perlukah puasa diganti? Ini penjelasan agamawan

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi