BARU-BARU ini tular di laman sosial beberapa muat naik dan video berkenaan dakwaan vaksin Covid-19 yang diberikan kepada penerima telah atau hampir luput.

Justeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini tampil memberikan penjelasan penuh berkaitan dakwaan tersebut.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan semakan, tiada stok vaksin yang luput dibekalkan kepada Pusat Simpanan Vaksin (PSV) atau Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Namun demikian, sesetengah dakwaan tidak dapat disiasat dengan sewajarnya kerana maklumat lokasi dan tarikh kejadian serta maklumat produk yang terlibat tidak dinyatakan.

Dalam pada itu KKM turut menegaskan bahawa;

1. KKM memantau secara berterusan bekalan dan tarikh luput vaksin Covid-19 yang diterima oleh PSV dan PPV dengan menggunapakai Sistem Pengurusan Vaksin (Vaccine Management System atau VMS) selain sistem inventori sedia ada yang terdapat di fasiliti terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

2. Penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan oleh pihak pengilang.

Baca juga Penerima vaksin Sinovac jangan takut terima dos penggalak Pfizer, keberkesanan hingga 74%

3. Ujian tersebut dijalankan pada masa nyata (real-time) untuk suhu penyimpanan yang tertentu.

4. Vaksin Covid-19 telah dibangunkan dalam jangka masa yang singkat (kurang daripada 2 tahun) sebagai tindak balas kepada wabak tersebut berbanding tempoh pembangunan biasa sesuatu produk farmaseutikal.

Iklan

5. Tempoh ujian dijalankan untuk menentukan jangka hayat vaksin adalah terhad. Pihak pengilang hanya dibenarkan untuk meletakkan tarikh luput berdasarkan tempoh kestabilan vaksin itu telah diuji pada masa nyata dan bukan secara ekstrapolasi.

6. Sekiranya pihak pengilang mempunyai data tambahan setelah ujian lanjut dijalankan, permohonan pelanjutan jangka hayat vaksin akan dikemukakan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai.

7. Pelanjutan tempoh jangka hayat produk vaksin tersebut hanya akan diluluskan setelah hasil penilaian dapat mengesahkan ia memenuhi keperluan regulatori. Malah, ini juga terpakai kepada semua produk farmaseutikal lain yang sedia berdaftar.

8. Tempoh jangka hayat produk vaksin Covid-19 juga akan berubah sekiranya terdapat perubahan kepada suhu penyimpanan.

9. Oleh yang demikian, tarikh luput baharu akan diberikan kepada produk tersebut. Produk masih selamat untuk diadministrasi selagi mana ia belum melangkaui tarikh luput baharu tersebut.

10. NPRA telah meluluskan permohonan pelanjutan jangka hayat bagi vaksin Comirnaty (daripada 6 bulan kepada 9 bulan), vaksin CoronaVac yang dikilangkan oleh Sinovac, China (daripada 9 bulan kepada 12 bulan) dan vaksin CoronaVac yang dikilangkan oleh Pharmaniaga Lifescience, Malaysia (daripada 6 bulan kepada 12 bulan).

12. Senarai nombor kelompok yang terlibat dengan pelanjutan jangka hayat vaksin telah dimaklumkan kepada semua fasiliti kesihatan dan juga melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh KKM pada 16 November 2021.

Baca juga Penerima vaksin Pfizer, AZ kini boleh suntik penggalak selepas 3 bulan dos kedua, ini fakta berkaitan yang perlu tahu

13. NPRA juga telah meluluskan pelanjutan tempoh jangka hayat bagi produk vaksin Convidecia daripada 6 bulan kepada 12 bulan pada 17 Disember 2021. Senarai nombor kelompok yang terlibat dalam pelanjutan jangka hayat adalah seperti dilampirkan.

Iklan

14. KKM sentiasa komited untuk memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 yang dibekalkan kepada penduduk Malaysia telah dinilai dari segi kualiti. Keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

15. Penilaian manfaat-risiko bagi vaksin Covid-19 yang diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat dilaksanakan secara berterusan berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

Justeru, tak perlu percaya kepada info-info tular berkaitan tarikh luput vaksin. Segera dapatkan dos penggalak korang bagi kebaikan kita bersama mencegah wabak Covid-19.