SELEPAS membina nama dalam bidang pengacaraan, Adriana Adnan kini aktif mengembangkan bakatnya sebagai pelakon yang kini turut mengundang perhatian ramai.

Bermula dengan watak-watak pembantu, bintang yang dikenali sebagai hos program HLive itu semakin mendapat kepercayaan sebagai teraju utama.

Tidak hanya untuk drama, Adriana, 28, kini menimba pengalaman di layar lebar pula apabila tampil menerusi filem pertamanya, Emp4t.

Filem seram terbitan Lomo Pictures itu menyaksikan dirinya memegang watak sebagai Sree yang mempunyai kelebihan melihat entiti yang tidak dapat dilihat orang biasa.

“Saya sangat teruja untuk menantikan filem ini masuk pawagam. Bukan sahaja kerana ia filem pertama saya, tetapi jalan cerita dan karakter yang dibawakan sangat menarik dan berbeza dengan apa yang buat sebelum ini.

“Filem ini memulakan penggambaran pada 2021 sebagai sebuah siri, namun kemudiannya dikembangkan dan digarap semula sebagai sebuah filem.

“Jadi kami kembali ke set penggambaran untuk menambah beberapa babak lagi dan baru sahaja selesai pada minggu lalu,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem itu di Alchemist Code, The Vertival, Bangsar South baru-baru ini.

Adriana (dua dari kanan) bersama pengarah dan pelakon filem Emp4t ketika majlis pelancaran filem itu baru-baru ini.

Mengulas wataknya sebagai Sree, Adriana berkata, bukan mudah untuk menjayakan filem seram biarpun genre sebegitu amat digemarinya.

“Sejak kecil lagi saya memang suka tengok cerita seram, jadi bila dapat tawaran terlibat dalam filem ini semestinya saya rasa sangat teruja.

“Namun tidak semudah disangka kerana ia memerlukan persediaan rapi, selain energi yang banyak bagi memenuhi tuntutan watak.

“Banyak benda yang saya belajar sepanjang buat filem ini dan ia menjadi pengalaman berguna untuk saya menjadi pelakon yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Program ilmiah

Selain Adriana, filem Emp4t yang dijangka menemui penonton sekitar Mei depan turut menampilkan barisan pelakon seperti Syafie Naswip, Alvy Joanna dan Nur Farisha Amira.

Iklan

Dalam perkembangan lain, anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu bakal terlibat dalam sebuah siri drama baharu bersama VIU Malaysia yang akan memulakan penggambaran pada Mac ini melibatkan lokasi di Kuala Lumpur dan Korea Selatan.

Meski sibuk sebagai seorang pelakon, Adriana yang juga merupakan anak kepada pengacara dan penyampai berita RTM, Datin Zamzarina Zambri masih tetap aktif dalam bidang pengacaraan dan mahu terus mencari kelainan dalam kerjaya itu.

“Alhamdulillah walaupun orang nampak saya kini aktif sebagai pelakon, hakikatnya kerjaya pengacaraan saya tetap berjalan seiring.

“Terbaru saya terlibat dalam program Hello Doktor yang disiarkan di TV3 dan ia merupakan program ilmiah pertama yang dikendalikan.

Iklan

“Saya sangat seronok dan berharap selepas ini dapat lebih banyak lagi peluang mengendalikan program pelbagai konsep,” katanya yang masih bersama program HLive di Astro.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.