'Penghormatan terakhir wira kehidupan' – Pergi sehari selepas ulang tahun, 'honor walk' Nabil Izz Qaisar runtun hati warganet
PEMERGIAN yang cukup mulia pelajar Diploma Kewangan Islam, Politeknik Idris Shah, Nabil Izz Qaisar Mohd Zairee, 19, meruntun hati warga maya.
Perkongsian di media sosial rasmi Hospital Selayang memaparkan penghormatan terakhir diberi buat pemuda yang disifatkan sebagai 'wira kehidupan'.
Pelajar semester tiga itu menderma organ, sekali gus memberi sinar harapan baharu kepada insan yang memerlukan.
Perjalanan Nabil Izz Qaisar ke dewan pembedahan mengundang sayu.

"Pada jam 3.00 pagi, Hospital Selayang telah mengadakan honor walk sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Allahyarham Nabil Izz Qaisaryang telah menghadiahkan sinar harapan kepada insan lain menerusi pendermaan organ.
"Dalam suasana penuh hening dan penuh penghormatan, ahli keluarga dan warga Hospital Selayang mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham sebagai simbol penghargaan atas pengorbanan yang amat bermakna.
"Setiap pendermaan organ adalah satu hadiah kehidupah yang mampu memberi peluang kedua kepada pesakit yang sedang menanti pemindahan organ," kongsinya.
Dalam pada itu, hospital berkenaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Allahyarham dan seluruh ahli keluarga atas keikhlasan serta pengorbanan yang tidak ternilai.

"Semoga segala jasa ini menjadi amal yang berpanjangan dan memberikan inspirasi kepada masyarakat untuk memahami kepentingan pendermaan organ," titipnya.
Terdahulu, Jabatan Perdagangan Politeknik Idris Shah berkongsi berita pemergian Allahyarham.
"Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan bahawa pelajar Jabatan Perdagangan kesayangan kami telah kembali ke rahmatullah.
"Allahyarham Nabil Izz Qaisar telah kembali ke rahmatullah pada 27 Julai 2026 dan dikebumikan selepas solat Asar," titipnya.
Warganet rata-rata terharu dengan pengorbanan Allahyarham, mengucapkan takziah kepada keluarga dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat.
"Sebaknya, semoga syurga tempatmu Nabil. Salam takziah buat keluarga Allahyarham."
"Moga ALLAH reda atas kebaikan almarhum dan ditempatkan bersama para solehin."
"Pemergiannya sehari selepas hari lahirnya meninggalkan 'hadiah' paling bermakna. Sejuta sinar harapan buat mereka yang masih berjuang untuk meneruskan kehidupan."
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
