Akibat microsleep DJ Mek Zura kemalangan. 5 info ini wanita perlu tahu
CELOTEHNYA sering kali menghiburkan para pendengar di corong radio. Baru-baru ini penyampai Molek FM, Mek Zura diduga kemalangan jalan raya angkara microsleep
Molek FM dalam kenyataan memaklumkan pengendali segmen Molek Pagi itu baru sahaja selesai menjalankan tugas dan terus pulang ke rumah.
Bagaimanapun dalam perjalanan beliau terlibat. Kejadian yang terjadi pada 8 Mac 2023 itu dimuat naik oleh pemilik nama Siti Azuraina Sheik Omar itu ke Instagram.
“Saya dah rasa kurang sihat sejak datang kerja jam 5 pagi hari itu, tetapi saya masih memaksa diri untuk datang kerja. Nak dijadikan cerita, setelah selesai menjalankan kerja harian saya, saya terus pulang kerana waktu itu apa yang saya fikir hanyalah nak berehat.
"Perjalanan dari Sri Pentas ke rumah di Bagan Lalang agak jauh dan mengambil masa hampir 1 setengah jam jadi saya sentiasa sediakan makanan seperti keropok, gula-gula dan minuman untuk hilangkan rasa mengantuk.
“Tetapi pada hari itu, saya berpuasa jadi apa yang saya boleh buat untuk hilangkan rasa ngantuk hanya dengan tepuk pipi untuk rasa lebih segar namun tak berjaya.
"Setibanya di guard house saya amat bersyukur kerana sikit sahaja lagi nak sampai rumah, tetapi dengan tak sedar tiba-tiba kereta saya melanggar pokok besar berhampiran rumah saya," katanya.
Baca juga: Microsleep boleh sebabkan kemalangan. Ini penjelasan pakar
Bagaimanapun, keadaannya selamat tanpa kecederaan serius. Mek Zura juga berpesan kepada pendengar dan yang memandu kenderaan tidak kira kereta, motor atau basikal sekalipun untuk sentiasa berhati-hati.
“Sekiranya terlalu mengantuk jangan paksa diri untuk teruskan memandu kerana badan kita perlukan rehat yang secukupnya, walaupun diri kita rasa masih boleh bertahan, tetapi otak kita dah tak kuat. Bukan kepada diri kita sahaja, malah orang lain juga akan terkena padahnya,” katanya.
Bekas penyampai Kelantan FM itu tidak lupa mengingatkan warganet agar sentiasa memakai tali pinggang keledar.
Ketua Rangkaian Kandungan Molek FM, Nik Nor Azura turut terkejut dengan kejadian yang menimpa penyampai itu.
“Kami di Molek FM berasa terkejut dan sedih apabila Mek Zura memberitahu di group Whatsapp kami bahawa beliau terbabit dalam kemalangan.
“Tapi saya sendiri rasa syukur apabila dapat tahu keadaan beliau tidak serius dan selamat. Di sini saya mengambil peluang untuk memberi sedikit pesanan kepada semua untuk sentiasa jaga kesihatan dan tidak terlalu memaksa diri memandu dalam keadaan mengantuk kerana kemalangan tidak berbau.
“Moga Mek Zura cepat sihat dan kembali menghiburkan pendengar Molek FM,” katanya.
5 INFO MICROSLEEP
1- Microsleep boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang mengalami kekurangan tidur tanpa mengira jantina atau usia. Kualiti tidur seseorang menyumbang kepada isu microsleep seperti waktu tidur yang konsisten dan jumlah jam yang diperuntukkan untuk lena.
2-Berdasarkan Sleep Foundation, Amerika Syarikat (AS), kumpulan umur 18 hingga 64 tahun memerlukan tujuh hingga sembilan jam untuk tidur kualiti, sementara mereka yang berumur 65 tahun ke atas perlu tidur sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan jam sehari.
3-Berikut adalah simptom dan tanda amaran yang menunjukkan anda bakal menghadapi microsleep dan hal-hal itu perlu diawasi. Antaranya seperti:
i. Kelesuan, menguap dengan terlalu kerap dan keletihan.
ii. Mula hilang fokus dan kurang tidak balas dengan sesuatu.
iii. Rasa mengantuk dan pandangan menjadi kosong.
iv. Tiba-tiba terkejut dan mata berkelip-kelip secara perlahan.
4-Tidak cukup rehat bukanlah satu-satunya perkara yang membuatkan badan ‘mendambakan’ untuk tidur. Terdapat beberapa perkara lain yang boleh mencetuskan episod microsleep termasuk:
i. Minum alkohol.
ii. Mengambil ubat dengan kualiti sedatif atau hipnosis seperti antihistamines atau pil tidur.
iii. Mempunyai keadaan perubatan yang menjejaskan tidur seperti sleep apnea atau insomnia.
5-Dalam pada itu, Healthline melaporkan, antara punca lain microsleep adalah daripada kualiti tidur buruk yang disebabkan daripada beberapa keadaan fizikal dan mental. Antaranya:
i.Masalah kencing manis dan masalah gula dalam darah.
ii.iTekanan darah tinggi.
iii.Obesiti termasuk krisis kemurungan dan kebimbangan keterlaluan.
Baca juga: Tak sempat ganti puasa tahun lepas? Ini kadar fidyah setiap negeri ditetapkan Jakim
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang