Alif Satar akui dekat dengan lagu-lagu Raihan
PELUANG untuk berkolaborasi dan menyanyikan semula lagu-lagu nyanyian ikon nasyid popular, Raihan, ternyata menjadi satu penghargaan cukup besar buat penyanyi Alif Satar.
Apatah lagi kerjasama yang bermula dengan lagu Sesungguhnya 2019 dan Damba Cinta Mu, diteruskan lagi dengan penghasilan EP khas berjudul The Sunnah The Better yang menyaksikan Alif dan The Locos kembali bergabung bersama Raihan merakam semula lima lagu popular kumpulan nasyid itu.
Tidak dapat menyembunyikan keterujaan, Alif, 32, mengakui begitu dekat dengan lagu-lagu Raihan sejak masih kecil lagi. Situasi itu membuatkan dia berasa sebak dan tersentuh apabila berpeluang merakamkan kembali lagu tersebut bersama penyanyi asalnya.
“Lagu-lagu Raihan memang begitu dekat dengan saya sejak kecil lagi. Ketika mengikuti ibu bapa saya tinggal di luar negara, hanya dua CD lagu yang dibawa dan salah satunya adalah album Raihan.
“Jadi apabila dapat peluang menyanyikan semula lagu-lagu ini bersama mereka, saya anggap ia sebagai penghormatan. Karya mereka ada aura tersendiri, selain alunan muzik menyentuh hati.
“Ketika rakaman, saya berasa sangat sebak sehingga meminta produksi menghentikan seketika rakaman kerana tidak dapat menahan emosi,” ujarnya pada sidang media Alif Satar & The Locos X Raihan, The Sunnah The Better baru-baru ini.
EP terbitan Warner Music Malaysia yang dilancarkan pada 1 April lalu itu mengandungi lima buah lagu iaitu Bismillah, 25 Rasul, Pujian-Pujian & Syukur, Assolatuwassalam dan Dambaan Rindu.
Kesemua video muzik lagu tersebut boleh ditonton secara berperingkat di saluran YouTube Alif Satar bermula 3 April lalu.
Menurut Alif, sejak penghasilan lagu pertama yang menyaksikan kolaborasinya bersama Raihan sehingga yang terbaru, sambutan diterima sangat positif.
“Saya bersyukur kolaborasi bersama Raihan ini mendapat perhatian ramai. Malah ia seolah-olah menjadi rutin atau projek wajib yang sentiasa dinantikan setiap kali menjelang Ramadan.
“Tujuan utama kami menghasilkan EP ini adalah untuk menghibur dan membawakan mesej-mesej positif. Semoga ramai dapat menerima dengan hati terbuka dan sama-sama kita meriahkan bulan Ramadan dengan mendidik anak-anak melalui konsep edutainment ini, ,” katanya yang begitu mengagumi Raihan.
Sibuk sepanjang Ramadan
Dalam perkembangan lain, Alif yang juga aktif sebagai pengacara dan pelakon itu berkata, sepanjang Ramadan, dia akan sibuk di lokasi penggambaran drama terbaharu lakonannya, Risik Pada Hati.
“Kalau ikutkan, biasanya sepanjang Ramadan saya tidak mengambil tawaran kerja, sebaliknya lebih fokus kepada aktiviti amal, selain meluangkan lebih masa bersama keluarga.
“Bagaimanapun dalam dua tahun ini, saya kena kerja lebih keras sedikit. Bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi keluarga yang semakin besar sekarang.
“Apa-apa pun saya sangat teruja menyambut Ramadan kali ini setelah dua tahun kita terkesan dengan pandemik. Rindu nak solat terawih dan lakukan rutin yang biasa kita buat selama ini,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang