Aliff Aziz tekad mahu terus istiqamah perbaiki kekurangan diri
SELAMA 14 tahun berkecimpung dalam industri seni, perjalanan lelaki berusia 30 tahun ini penuh onak dan ranjau.
Masakan tidak, jika diselak kembali lembaran kehidupannya, tertulis pelbagai cerita pahit, manis termasuk kontroversi liar yang melatari kerjaya beliau.
Namun, itu semua sudah disimpan kemas kerana Aliff Aziz kini sudah jauh berubah. Tidak mahu memperincikan lagi tentang segala kesilapan lalu, Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Aliff Aziz meluahkan rasa syukur apabila dipilih untuk kembali mendekati-NYA. Pada masa sama, dikelilingi ramai sahabat yang membimbingnya ke jalan yang diredai.
“ALLAH SWT itu MAHA BAIK, MAHA PENGAMPUN. Pada saat saya tidak pernah terfikir (sertai jemaah tabligh), ALLAH bukakan jalan.
“Walhal saya banyak kelemahan dan kesilapan yang dilakukan tidak terhitung, tetapi ALLAH bawa saya berkenalan dengan kawan-kawan sekarang (jemaah tabligh).
"Sekali lagi, saya bersyukur kerana telah dipilih-NYA,” ujar Aliff memulakan bicara mengenai penghijrahan rohaninya ketika ditemui pada sidang media program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) baru-baru ini.
Ditanya bagaimana bibit permulaan yang membawanya kembali mendekati agama, penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Sayang Sayang itu terdiam sejenak.
Sambil menghela nafas perlahan, Aliff berkata, beliau secara tiba-tiba bertanya kepada diri sendiri sampai bila mahu berada di takuk lama?
“Selepas itu, saya rasa mungkin ALLAH telah jentik hati saya untuk menghubungi jemaah tabligh dan terus mengikut mereka untuk menimba ilmu,” jelasnya.
Terima penghinaan
Ya, sama seperti orang lain, suami kepada pelakon dan penyanyi Bella Astillah itu mengakui, dirinya juga berdepan cabaran untuk kekal istiqamah.
Bagaimanapun, bapa kepada dua cahaya mata tersebut bersyukur kerana berada dalam lingkaran individu yang sering mengingatkannya ke arah kebaikan.
“Apa yang saya harapkan sekarang adalah dapat terus kekal istiqamah. Itu yang paling susah dan mahal. Pengorbanan untuk ALLAH dan agama-NYA memang besar.
“Kadang-kadang bila sudah lama tidak keluar khuruj (berdakwah bersama jemaah tabligh), semangat itu semakin berkurangan. Atas sebab itu, saya menjaga lingkungan supaya tidak cepat lupa.
“Apa yang penting, tanamkan sifat ikhlas di dalam hati. Bila berubah, berubahlah kerana ALLAH dan Rasul. Kalau kita berubah sebab orang, ia tidak akan berkekalan,” ujarnya.
Sudah resam seorang selebriti, segala yang dilakukan meskipun perkara baik tetap akan jadi bahan pertikaian.
Kepada SinarPlus, pelakon Halalkan Hati Yang Ku Curi itu mengakui beliau tidak terlepas daripada dihina.
Lebih teruk, ada segelintir pihak yang memperlekehkan niat baiknya.
Tidak melatah dengan segala kutukan mahupun cacian, Aliff tenang menghadapi tantangan itu.
“Pada pendapat saya, tidak kira baik macam mana pun kita, mesti ada orang tak suka. Apa yang penting, kita tahu bagaimana cara untuk menanganinya.
“Kita tidak boleh kawal reaksi atau apa yang orang nak cakap. Apa yang kita boleh kawal adalah diri kita, kalau kita melenting, kita sama sahaja seperti mereka. Pada kesempatan ini, saya ingin memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang tidak suka apa yang saya lakukan dahulu,” katanya.
Platform besar
Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam GV8, Aliff mendedahkan, beliau pernah mendapat tawaran sama dua tahun lalu, namun terpaksa menolaknya lantaran berdepan dengan kekangan masa dan sedang merentas fasa kehidupan yang kurang baik ketika itu.
Apabila diberi peluang sekali lagi pada tahun ini, abang kepada penyanyi Aisyah Aziz itu sukar untuk berkata tidak.
“Seperti kita semua tahu GV adalah satu platform besar. Saya anggap ini sebagai satu peluang buat saya timba pengalaman baharu.
“Saya juga tidak fokus untuk bersaing dan menganggap semua yang terbabit seperti sebuah keluarga besar. Matlamat saya cuma mahu fokus untuk buat yang terbaik sahaja.
“Selain itu, saya anggap ini adalah pekerjaan untuk saya cari rezeki dan nafkah untuk keluarga. Saya sentiasa berdoa jika yang elok untuk saya, ALLAH dekatkan, yang tidak elok dijauhkan.
“Doakan yang terbaik untuk saya dan semua yang terlibat dalam GV8 ini,” ujarnya menutup tirai perbualan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang