Angkat isu kesihatan mental, Eva naskhah berbaloi untuk tontonan
SELEPAS mencipta beberapa kejayaan di festival luar negara, filem Eva - Take Me As I Am kini menemui penonton di pawagam tanah air mulai 26 Januari.
Membawakan isu tentang masalah kesihatan mental, naskhah sulung arahan Suhaiza Aziz ini sewajarnya diberikan perhatian apabila memilih untuk tampil dengan sebuah karya berbeza.
Mengisahkan tentang Eva, seorang peguam yang tegas, berkeyakinan dan sentiasa menang dalam kes-kes ditanganinya di mahkamah. Kebanyakannya melibatkan kegasanan rumah tangga dan penderaan seksual terhadap wanita.
Menariknya Eva tidak membela mangsa, sebaliknya memenangkan tertuduh dengan menggunakan fakta perundangan yang dimanipulasikan. Apakah motif sebenar Eva?
Persoalan itulah yang akan bermain di fikiran penonton pada awal penceritaan. Rasa marah dan geram bersatu ketika menonton aksi pembelaan Eva di mahkamah yang dilihat seperti tidak mempunyai hati serta perasaan.
Namun persoalan itu mula terjawab satu demi satu apabila watak Eva lakonan Nadia Aqilah itu sebenarnya mempunyai masalah split personaliti. Dalam dirinya ada tiga karakter berbeza iaitu sebagai Eva, Amy dan Mike yang menyebabkan personalitinya sering berubah-ubah.
Setiap karakter itu berlawan sesama sendiri untuk dominan dan menuntut Eva memenuhi kehendak mereka. Di situlah berlakunya kecelaruan dalam diri Eva yang juga mempunyai trauma tersendiri akibat dirogol bapa kandungnya sehingga melahirkan anak.
Meski bergerak perlahan, namun penonton disajikan dengan babak-babak menarik yang kadang-kala di luar jangkaan dan mungkin sebelum ini hanya biasa disaksikan dalam filem luar negara.
Bagaimanapun pengarahnya pasti mempunyai alasannya sendiri untuk memasukkan adegan tersebut, malah merelakan filem ini diklasifikasikan untuk tontonan 18 bagi memberi gambaran senyata mungkin kepada penonton tentang impak dialami individu berkenaan.
Penonton juga dikejutkan dengan plot twist yang dalam masa sama turut menyampaikan mesej betapa pentingnya sokongan orang-orang di sekeliling dalam membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental.
Tidak hanya itu, filem ini juga menampilkan sinematografi yang berkualiti, sekali gus berjaya memberi kesan dramatik sepanjang tontonan. Difahamkan dialog dan babak-babak penting melibatkan fakta perubatan serta perundangan dalam filem ini ini juga mendapat rujukan daripada pihak berkenaan bagi memberi gambaran sebenar kepada penonton.
Dari segi lakonan, persembahan Nadia Aqilah sememangnya tidak harus dipertikaikan. Dia menekuni tiga karakter yang diberikan dengan baik dan berjaya meninggalkam impak tersendiri kepada penonton.
Jangan ketinggalan menonton Eva - Take Me As I Am, sebuah karya yang tidak harus dilepaskan.
Eva - Take Me As I Am
Bahasa: Melayu
Klasifikasi: 18
Genre: Drama/psychothriller
Durasi: 1 jam 35 minit
Pengarah: Suhaiza Aziz
Pelakon: Nadia Aqilah, Nadia Brian, Shamsul Danish, Zain Hamid, Aleeza Kassim
Terbitan: D’Alpha Legacy (M) Sdn Bhd
Tarikh Tayangan: 26 Januari 2023
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang