BCL sedih dan sakit hati jadi mangsa body shaming, akui Ariel lelaki baik

BUNGA CITRA LESTARI
BUNGA CITRA LESTARI
A
A
A

PENYANYI dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari mengakui sedih apabila dituduh sedang hamil gara-gara sekeping gambar yang menampakkan perutnya seperti buncit yang tular di media sosial baru-baru ini.

Kecewa dengan dakwaan tidak berasas itu, Bunga yang turut dikenali dengan gelaran BCL itu menganggap isu tersebut sebagai satu tindakan body shaming terhadap dirinya dan ia tidak seharusnya berlaku.

“Saya sedih dan sakit hati apabila menjadi mangsa body shaming mereka, hanya kerana sekeping foto yang menampakkan perut saya kelihatan seperti itu.

“Saya juga manusia biasa dan seperti ibu-ibu yang suka makan tengah malam,” ujarnya kepada SinarPlus.

Bagaimanapun, BCL yang ditemui pada sidang akhbar Konsert BCL Blossom Intimate di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu berkata, dia sedar tidak semua orang memahami perubahan fizikal yang dilalui seseorang, apatah lagi bagi mereka yang sudah meningkat usia sepertinya.

“Mungkin bentuk badan saya kelihatan seperti itu di foto terbabit kerana sudut foto yang diambil atau keadaan yang disebabkan oleh faktor datang bulan dan lain-lain. Tidak semua orang faham tentang itu.

“Pastinya saya juga ada melakukan senaman, tetapi kenyataannya perubahan bentuk badan itu pasti juga berlaku kerana usia makin meningkat dan bakal menginjak ke usia 40 tahun tidak lama lagi.

“Jadi mana mungkin fizikal saya akan masih sama seperti 20 tahun lalu,” jelasnya.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Wanita Terbahagia itu lagi, tiga tahun lalu berat badannya turun dan kelihatan kurus meskipun amalan dan tabiat pemakanannya tidak pernah berubah.

“Tiga tahun saya kelihatan kurus dan kehilangan berat badan yang agak ketara, padahal saya makan banyak.

“Sekarang berat badan saya bertambah, sedangkan tabiat makan saya masih juga sama seperti dulu.

“Melihat perubahan itu, saya berharap mungkin orang akan lebih gembira kerana saya nampak lebih segar dan sihat setelah melewati fasa-fasa sukar dalam hidup. Namun sebaliknya pula yang berlaku,” katanya.

Mengulas tentang gosip hubungan cinta yang mengaitkan dirinya dengan beberapa rakan artis seangkatan termasuk Ariel, Noah, wanita berusia 39 tahun itu menganggap ia sebagai asam garam dunia hiburan.

“Sebenarnya mereka itu adalah teman-teman baik saya dan tidak lebih. Memang hubungan itu sering disalah anggap, tetapi saya hanya lihat ia sebagai gosip untuk tujuan hiburan semata-mata.

“Orang yang berkata-kata itu tidak ada dalam hidup saya dan tidak tahu apa yang saya lalui, jadi saya tidak salahkan mereka. Mereka bebas memberikan pandangan tetapi saya hanya mahu menjadi diri sendiri.

“Tentang Ariel, orang tidak tahu kami sudah lama bersahabat baik. Mungkin ada yang ingin melihat saya dengan Ariel kerana kami kelihatan ‘cute’ bersama, tetapi sesuatu hubungan itu bukan hanya tentang itu, tetapi melibatkan banyak hal yang harus dipertimbangkan.

“Apa pun Ariel adalah seorang lelaki baik dan teman yang baik juga,” tegasnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca