Bebas namun diperintah ke Hospital Bahagia, 12 info kes dadah penyanyi nasyid Yasin

PENYANYI nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini atas tiga kes dadah, namun diperintah ke hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Hakim, Faiz Dziyauddin memutuskan bahawa penyanyi atau nama sebenarnya Muhammad Yasin, 48, diletakkan di bawah penjagaan selamat di hospital itu untuk tempoh diperkenankan Sultan Selangor.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, hakim berkata, mahkamah telah meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan.

Berikut info berkaitan kes dadah Yasin;

1. Mahkamah mendapati tertuduh ada melakukan perbuatan sebagaimana dalam tiga pertuduhan itu tetapi dia dilepas dan dibebaskan atas alasan semasa kejadian pada 24 Mac 2022, Yasin berada dalam keadaan mental yang tidak waras.

2. Walaupun tertuduh sedar akan sifat perbuatannya, namun gejala mania (emosi tidak stabil) yang dialami ketika itu menyebabkan kemerosotan pada tahap teruk sehingga dia tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatan itu salah dan bertentangan undang-undang.

3. Mahkamah mengarahkan tertuduh diletakkan di bawah penjagaan selamat di Hospital Bahagia tersebut mengikut Seksyen 348(1) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

4. Dia akan ditempatkan di sana selama tempoh diperkenankan Sultan Selangor sebagai mana diperuntukkan di bawah Seksyen 348(2) CPC.

Mendengar perkara itu, Yasin yang memakai baju T berwarna hitam, menunduk dan kelihatan terkejut sebelum dipeluk anak perempuannya yang berada di galeri awam.

Ahli keluarga Yasin turut menangis sementara ibunya, Suzanah Abdullah, 73, mengucap syukur ‘Alhamdulillah’ sejurus mahkamah melepas dan membebaskan anak ketiga daripada tujuh beradik daripada tuduhan berkenaan.

Baca juga Derita bipolar, penyanyi Yasin Sulaiman sah tidak waras semasa kejadian kes dadah, berikut tanda-tandanya

YASIN SULAIMAN
Keadaan Yasin sebelum ini sangat yang susut berat badan.

5. Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

6. Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

7. Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Iklan

8. Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

9. Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Baca juga Tampil berambut pendek, Yasin Sulaiman terima rawatan bipolar

10. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

11. Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Iklan

12. Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam kes tersebut, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala Yasin diwakili peguam, Ariff Azami Hussein.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!