SELEBRITI dan usahawan terkenal, Datin Fouziah Gous mengakui berasa sedih setiap kali melihat bendera putih dikibarkan mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Dalam masa sama, Fouziah, 39, meluahkan rasa syukur apabila ramai rakan dan pengikutnya di media sosial menunjukkan tanda prihatin mereka dengan menyertai kempen ‘Bendera Putih’ untuk membantu golongan terkesan.

“Hari ini tak tahu kenapa rasa terlalu sedih sampai tak boleh nak kawal. Bila tengok bendera putih, terus berair mata.

“Alhamdulillah syukur kerana ramai sahabat dan semua hamba Allah di media sosial bertungkus lumus untuk bersama-sama dengan #benderaputih,” ujarnya.

Menerusi perkongsian sama, ibu kepada dua anak itu juga memaklumkan, syarikat miliknya, FG Walet juga akan mengambil bahagian dalam menggerakkan usaha murni itu.

“Insya-ALLAH FG Walet juga tidak ketinggalan untuk bersama dengan anda. Kami akan keluarkan beberapa peruntukan.

“Kami akan kemas kini semua informasi dari masa ke semasa melalui IG @fgwalet. Tolong follow @fgwalet dan jangan lupa untuk sebarkan segala kemas kini kami.

“Esok (Khamis), insya-ALLAH akan bermula beberapa misi untuk kami terus berjuang untuk bersama dengan #benderaputih #fgwaletprihatin #fgwaletsayangbenderaputih,” ujarnya.

Iklan

Tidak hanya itu, Fouziah turut mempelawa pengusaha-pengusaha lain untuk bekerjasama bersama FG Walet bagi sama-sama menghulurkan bantuan dari segi barang keperluan asas.

“Kami mencari pengusaha tempatan yang ingin bekerjasama dengan FG Walet dan pengusaha tempatan yang dapat memberikan harga kos atau diskaun.

Iklan

“Kami mengalu-alukan kerjaasama daripada anda untuk kita membantu mereka yang memerlukan.

“Semoga dengan kerjasama ini dapat membantu perniagaan anda terutamanya produk IKS atau barangan buatan Malaysia,” kata Fouziah.