Bimbang keadaan anak-anak angkat di Sekolah Afwa Al Afiyah, Gaza, Siti Nurhaliza mohon doa

BUMI Gaza yang dihujani bom sejak Sabtu lalu turut mengundang kerisauan di hati penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Mana tidaknya, penyanyi lagu ‘Cindai’ itu mempunyai sekolah untuk pendidikan anak-anak Palestin yang dibangunkan menerusi Yayasan Nurjiwa.

Siti, 44, bimbang dan sentiasa memantau situasi perang terkini yang mungkin mengancam nyawa 50 orang anak-anak angkatnya di sekolah Afwa Al Afiyah.

Ibu kepada dua cahaya mata, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa itu menyedari murid-murid sekolah di Gaza itu sedang berhadapan situasi getir yang bila-bila masa saja akan meragut nyawa.

“Pihak kami sedang memantau secara dekat situasi terkini di sana dan mendoakan agar anak-anak ini selamat.

“Situasi terkini di sana sangat runcing. Masjid dan bangunan musnah, hilang nyawa dan harta benda. Namun sebagai saudara Islam, kita usahakan apa yang termampu dan teruslah mendoakan keselamatan mereka.

“Saya mengenangkan bagaimana keadaan anak-anak angkat saya di sana.

“Semoga semuanya di dalam peliharaan ALLAH,” luah penyanyi itu menerusi laman Instagram.

Baca juga [VIDEO]’Amazing!’ – Lelaki hasilkan gambar Tok Ti guna kiub rubik buat ramai kagum

Isteri kepada Datuk Seri Khalid itu juga mengajak orang ramai untuk sama-sama menghulurkan sumbangan agar dapat membantu penduduk di Gaza meneruskan kehidupan.

“Perkara ini tidak boleh dipandang sahaja tanpa berbuat apa-ара. Lebih pilu apabila menerima khabar daripada para pendidik di bumi Palestin terdapat sejumlah masjid hancur binasa akibat kebiadaban zionis.

“Justeru, bagi tujuan membantu dan berkongsi rasa kesulitan yang mendalam, Nurjiwa Foundation dengan kerjasama Kita Fund meneruskan kempen Tabung Bantuan Khas Palestin yang telah dilancarkan sejak tahun 2021,” tambahnya.

Sebelum ini, menerusi Yayasan Nurjiwa, Siti mengumumkan membina sebuah sekolah yang menawarkan pengajian al-Quran dan subjek akademik bagi membantu anak-anak di Palestin sejak Oktober 2021.

Iklan

Baca juga Biaya kanak-kanak bedah jantung 11 tahun lalu, kebaikan Siti Nurhaliza jadi inspirasi, kebajikan senyap-senyap rahsia rezeki berkat

Pada Mei lalu, Siti turut mengadakan konsert khas Satu Suara Vol 3 bagi tujuan meraih kutipan dana membantu kanak-kanak di sekolah berkenaan.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Oktober telah meragut ratusan nyawa kedua-dua belah pihak.

Iklan

Setakat ini, lebih 700 rakyat Palestin maut di Gaza, termasuk di Tebing Barat.

Dalam pada itu, Israel dilaporkan telah mengerahkan 300,000 tentera simpanan dalam melaksanakan pengepungan sepenuhnya di Semenanjung Gaza.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!