Jangan lupa follow kami di Instagram!

MARAH, meluat dan kecewa!

Rata-rata warga maya menzahirkan ketidakpuasan hati sedemikian susulan tindakan seorang influencer dan usahawan yang dikatakan tidak beradab dengan warga emas.

Menerusi rakaman video pendek yang tular baru-baru ini memaparkan pemuda difahamkan pengasas produk kecantikan ‘meninggikan’ suara terhadap seorang lelaki warga emas.

Insiden itu berlaku di pusat transit gelandangan di Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada Selasa.

Melihat situasi itu membuatkan orang ramai kesal dan bengang.

Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin juga tidak terkecuali berasa ‘panas’ dengan sikap lelaki terbabit yang disifatkan tidak beradab ketika bercakap dengan individu lebih berusia.

“Kejayaan bukan diukur dengan tingginya ilmu, hebat dan kaya raya (bro baju hitam).

“Alhamdulillah, ALLAH bagi bro pinjaman nikmat kepandaian, kekayaan dan menjadi penolong orang untuk berjaya.

“Tapi bro, dalam dunia yang hanya satu jam 30 minit waktu akhirat, kejayaan hakiki manusia (hamba ALLAH) bila dapat pengakhiran terbaik, dapat masuk syurga ALLAH.

“Niat bro bagus ‘today God send me to help you’ tapi dengan memperlekehkan orang tua ia sangat tidak beretika. Secara public ataupun secara berdua pun tetap tak ada adab bro,” coret Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin menerusi laman sosial Instagram.

mila jirin

Tegas pengasas Bizmilla Wedding Centre dan Bizmilla Travel itu tidak semua orang miskin bersikap malas.

Iklan

“Bro kenal pak cik tua tu? Tak semua orang yang miskin itu malas, tak berusaha dan tak pandai.

“Duduk lepak dengan orang-orang begitu, sembang sejarah hidup mereka. Ada yang hadir dalam keluarga susah, berkorban tak pergi sekolah. Ada yang dahulukan adik-adik. Ada yang dibuang anak-anak. Tanya dulu apa sejarah hidup mereka.

“Di dunia ni ALLAH uji orang bijak pandai, kaya raya macam bro. ALLAH uji hadirkan orang yang tidak berapa bijak dan orang orang susah.

“ALLAH uji untuk lihat kita sayang ilmu dan harta atau kita akan sebarkan kasih sayang dengan membantu semampunya apa yang termampu?

Bicara Juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) tersebut sepatutnya golongan ‘bijak pandai’ seperti itu perlu berterima kasih.

Iklan

“Bro, orang bijak pandai kaya raya kena banyak banyak berterima kasih kepada mereka yang tidak pandai dan asnaf atau gelandangan sebab mereka, orang bijak kaya raya dapat tumpang kutip pahala bila berkasih sayang dalam membantu sebarkan ilmu dan bantu agihkan rezeki pinjaman ALLAH buat mereka yang memerlukan.

“Bro, saya harap cepat- cepat cari pak cik tua itu mohon maaf. Sebab saya risau bro akan menyesal sampai tua andai pak cik itu pergi tanpa sempat mohon ampun,” ujarnya menutup bicara.

Baca juga: Tiada permohonan maaf, Siti Nordiana bakal saman Lan Solo, Syura

Dalam perkembangan berkaitan influencer terbabit telah dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka ketika menyampaikan ceramah di pusat transit gelandangan di Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, video berdurasi 49 saat itu tular di media sosial.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 11.30 pagi Selasa ketika individu itu menyampaikan ceramah motivasi bertajuk ‘Ubah Hidup’ kepada 20 orang gelandangan.