Cara hidup sihat Tok Ti

DS Siti Nurhaliza
DS Siti Nurhaliza
A
A
A

PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui teruja dengan kehidupannya kini sebagai ibu kepada dua cahaya mata.

Menurut Siti, 42, masih banyak ilmu dan perkara yang perlu dipelajarinya dalam urusan mendidik dan membesarkan anak-anaknya.

“Menjadi ibu merupakan satu perkara yang saya sangat syukuri. Walaupun ALLAH jadikan impian saya bergelar ibu agak lewat sedikit iaitu selepas 11 tahun selepas berumah tangga, ia tak halang saya untuk bersyukur dan menjaga nikmat yang diberikan.

“Saya masih baru sebagai ibu dan masih banyak yang perlu dipelajari dalam soal menguruskan anak. Aafiyah baru berumur tiga tahun, manakala Afwa pula masuk tiga bulan.

“Insya-ALLAH impian saya menjadi ibu yang baik dan dapat didik anak dengan sebaik-baiknya. Doakan saya,” ujarnya pada sesi sidang media virtual BeauSiti baru-baru ini.

Dalam pada itu, Siti mengakui bukan mudah menggalas tanggungjawabnya sebagai ibu yang dalam masa sama aktif dalam kerjaya dan perniagaan.

“Sebagai seorang ibu dan wanita berkerjaya, tanggungajawab itu sangat besar dan tidak mudah kerana banyak benda perlukan perhatian kita dalam masa sama.

“Apapun saya percaya, seorang wanita hebat akan berjaya hadapinya dengan baik meski apa keadaan sekalipun.

“Kita kena sabar dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ALLAH bagi pada kita. Apa yang penting, sentiasa lakukan yang terbaik,” katanya.

Berkongsi bagaimana dia menjalani kehidupan sihat selepas bersalin, Siti berkata, dia cukup mementingkan pemakanan sihat selain rutin senaman yang dilakukan setiap hari.

“Selepas bersalin anak kedua, saya kerja keras untuk kekal cergas dan cerdas. Kalau kebiasaannya orang berpantang selama 44 hari, saya lanjutkan kepada 100 hari.

“Bila nak kembali bekerja, kenalah jaga bentuk badan semula agar penampilan diri di pentas nampak cantik.

“Jadi perlu kerja keras dengan bersenam dan jaga makan. Memanglah takkan boleh nak dapatkan balik bentuk badan asal tapi apa yang penting saya boleh mengekalkan tenaga bila kembali bekerja nanti,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi Anta Permana menitipkan pesan kepada orang ramai yang berdepan cabaran pandemik dan menjejaskan kehidupan masing-masing.

“Saya faham dan akui bukan mudah sesetengah keluarga atau ibu menghadapi cabaran ini. Kita kena reda dengan keadaan dan kuatkan fizikal serta mental.

“Saya selalu ingatkan diri sendiri supaya positif terutamanya ketika berdepan dengan tekanan. Yakinlah setiap cabaran dan dugaan itu, ALLAH sediakan hikmah dan kebaikannya.

“Carilah penyelesaian kepada setiap masalah yang datang. Kalau dah habis usaha dan sampai satu tahap perlukan bantuan, mintalah bantuan. Saya percaya ramai orang di sekeliling kita sangat prihatin untuk membantu,” katanya yang kini sibuk menguruskan perniagaannya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca