SURIA FM akan membawa penyampai Morning Morning Suria iaitu Shuib, Ajak dan Suraya untuk belanja 100 pendengar Suria FM makan di beberapa lokasi terpilih yang akan mereka kunjungi menerusi Jelajah Morning Morning Suria Belanja Makan.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali dengan DJ Lin, program tersebut merupakan kesinambungan daripada siri Jelajah 90 Suria yang diadakan sepanjang Ogos lalu dan lokasi yang dipilih merupakan lokasi yang tidak dikunjungi sebelum ini.

“Aktiviti ini bertujuan untuk mendekatkan pendengar dan juga barisan penyampai Suria FM khususnya Shuib yang baru sahaja menjadi ahli keluarga baru kami.

“Sepanjang siri Morning Morning Suria Belanja Makan diadakan, pendengar turut berpeluang membeli barangan eksklusif Suria yang dijual dengan harga promosi serta memenangi sebahagian daripada RM5,000 sewaktu acara berlangsung,” ujarnya.

Lokasi pertama untuk Morning Morning Suria Belanja Makan ialah di Kota Bharu, Kelantan yang akan diadakan pada 24 September (Sabtu) ini. Pendengar berpeluang untuk berjumpa dan bersarapan pagi bersama penyampai kesayangan mereka di Ayang Café dan seterusnya makan tengah hari di Make@Tunjung.

Selepas selesai acara di Kota Bharu, penyampai Morning Morning Suria akan ke Kuala Terengganu pula untuk makan malam bersama pendengar di D’Perahu Seafood.

Sementara pada 25 September (Ahad), pendengar boleh bersarapan bersama Ajak, Suraya dan Shuib di Nasi Dagang Atas Tol, manakala sebelah tengah hari pula mereka akan berada di Aurora Coffee House, Dungun Terengganu bermula jam 12 tengah hari hingga 3 petang.

Iklan

Setelah ke pantai Timur, siri jelajah akan diteruskan ke Melaka pada 1 Oktober (Sabtu), di mana pendengar berpeluang bersarapan bersama di Roti Canai Kayu Arang, makan tengah hari di Asam Pedas Pak Man dan diikuti makan malam di The Wau, Melaka.

Dalam pada itu, pendengar Suria FM juga berpeluang memenangi sebahagian daripada wang tunai RM70,000 bermula 12 September sehingga 28 Oktober ini menerusi peraduan Morning Morning SURIA Nak Bagi Duit.

Iklan

Dengan tagline ‘Dengar, Ingat Dan Ulang’, pendengar perlu mendengar kima lagu terpilih yang dimainkan sepanjang hari bermula jam 6 pagi sehingga 1 pagi menerusi segmen Morning Morning Suria, Gaya Suria, Suria Petang dan Suria Cinta.

Ikuti maklumat lanjut dan perkembangan terkini Suria di laman web dan laman sosial Suria FM.