Erra Fazira lebih terbuka
PELAKON yang pernah mendapat jolokan Primadona Filem Melayu, Erra Fazira tidak menafikan terbuka menerima cinta di kalangan individu bukan Melayu.
Bahkan Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, mengakui pernah berkawan dengan individu bukan Melayu, namun hubungan itu tidak berakhir ke jinjang perkahwinan.
“Saya tak ada masalah untuk berkawan atau berkahwin dengan bangsa lain. Saya sentiasa alu-alukan walaupun jika jodoh yang datang bukan dalam kalangan Melayu.
“Dalam masa yang sama, ia membuka peluang untuk kita memperkenalkan agama dan budaya kepada bangsa bukan Melayu,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaharu lakonannya, Kongsi Raya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Naskhah itu berkisahkan percintaan berlainan bangsa iaitu Melayu dan Cina yang mendapat tentangan ibu bapa masing-masing.
Filem arahan Teddy Chin itu akan menjengah pawagam di seluruh tanah air sempena Tahun Baru Cina pada 3 Februari ini.
Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam filem Kongsi Raya, Erra berkata, dia menerima tawaran tersebut kerana ingin menimba pengalaman berlakon di bawah produksi bukan Melayu.
Menurut Erra, 47, dia kagum dengan disiplin diterapkan produksi membabitkan jadual bekerja.
“Saya kagum sangat dengan disiplin mereka. Ni pertama kali saya bekerja di bawah produksi Cina sebelum ni dah pernah bekerja bawah produksi India.
“Waktu penggambaran akan habis tepat pada masanya, kalaulah produksi kita pun begitu, pasti industri kita akan lebih meriah.
“Selain tu, cara Chan mengarah juga berbeza, saya rasa mungkin kita boleh ciduk sedikit cara mereka dan mereka pun boleh ambil perkara yang positif dari kita,” katanya.
Berkongsi mengenai wataknya sebagai Sarah, Erra berkata, dia terbuka membawa watak seorang ibu kerana ingin mencuba sesuatu yang baru.
“Saya pernah bawa watak ibu sebelum ni. Tapi untuk filem ni yang pertama dan walau sama, setiap lakonan itu ada cabang yang berbeza.
“Kali ini saya bawa watak ibu yang moden, bukan watak ibu yang tipikal dan pengarah juga cuba sampaikan mesej secara bersahaja,” jelasnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang