MONSTA dan Astro Shaw melangkah ke tahun 2021 dengan melancarkan trailer rasmi filem animasi terbaru, Mechamato.

Monsta yang sebelum ini terkenal dengan BoBoiBoy kini membawakan watak adiwira baru, Amato. Amato merupakan ayah kepada BoBoiBoy dan telah membuat kemunculan ‘cameo’ pertamanya pada penghujung kredit filem BoBoiBoy Movie 2.

Filem Mechamato adalah sebahagian daripada Power Sphera Universe dengan kronologi masa era pra-BoBoiBoy iaitu sewaktu Amato masih di alam persekolahan.

Amato secara tidak langsungnya telah menjadi tuan kepada MechaBot; Power Sphera dengan Kuasa Mechanize yang boleh menukarkan objek biasa menjadi peralatan canggih.

Tanpa disangka-sangka, MechaBot juga menjadi buruan Grakakus, alien sibernetik yang sanggup melakukan apa saja untuk memiliki MechaBot.

Iklan

Apabila bandar Kota Hilir diancam bahaya, Amato dan MechaBot harus berganding tenaga dan menggunakan Kuasa Mechanize untuk menjadi adiwira yang bergelar Mechamato.

Fasa produksi filem Mechamato kini hampir selesai dan ia bakal ditayangkan di seluruh negara apabila keadaan pasaran kembali pulih dan pawagam-pawagam telah dibuka sepenuhnya.

Iklan

Lebih membanggakan, siri animasi Mechamato bakal menembusi pasaran antarabangsa menerusi saluran Cartoon Network yang akan disiarkan di lebih 20 buah negara di rantau Asia Pasifik termasuk negara-negara seperti Australia, New Zealand, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong dan Taiwan.