PELAKON Zara Zya mempunyai cara dan pendekatannya tersendiri dalam menyuntik keceriaan kepada ‘rider’ atau penghantar makanan apabila merancang untuk menyediakan pek bungkusan istimewa kepada golongan berkenaan.

Bagaimanapun pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 36, yang menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Prihatin Tanpa Sempadan itu memerlukan sejumlah dana bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Kalau ikut kemampuan diri, saya boleh sediakan pek makanan, minuman beserta pelitup muka dan sanitasi tangan, namun terbatas untuk bantuan skop kecil.

“Saya berasakan lebih baik sekiranya niat baik ini dilakukan bersama mereka yang sama-sama sudi menyumbang.

“Lagi ramai yang beri sumbangan, insya-ALLAH lagi luas skala bantuan ini boleh dianjurkan,” katanya.

Menurut Zara lagi, golongan penghantar makanan juga menjadi frontliners atau pekerja barisan hadapan yang melakukan khidmat penghantaran kepada keperlauan pelanggan sepanjang pandemik Covid-19.

“Mereka juga terdedah dengan pelbagai risiko. Jadi saya rasa mahu menyumbang sesuatu untuk golongan ini. Kecil atau besar bantuan itu, pastinya tetap memberi makna tersendiri kepada golongan berkenaan.

“Saya sendiri antara yang turut menggunakan khidmat mereka. Pernah saya curi masa golongan itu dengan bertanyakan apa yang mereka perlukan sebenarnya. Kebanyakan memberi jawapan mereka perlukan pelitup muka dan sanitasi tangan.

“Daripada situ saya terfikir untuk menganjurkan bantuan ini. Pastinya ada di antara mereka tak sempat menjamu selera kerana terkejar-kejar masa penghantaran.

Iklan

“Jadi makanan dan minuman juga boleh membahagiakan mereka. Makanan yang diagihkan itu nanti akan dimasak saya sendiri di rumah seperti menu Nasi Ayam atau Beriani,” katanya.

Sebagai permulaan, aktres yang mencetuskan fenomena menerusi drama bersiri, Love You Mr Arrogant itu berkata, dia akan meletakkan pek sumbangan itu di beberapa lokasi stesen minyak di Setia Alam.

Iklan

“Saya mensasarkan untuk meletakkan sekitar 30 ke 50 pek bungkusan di setiap stesen minyak.

“Jika ada sumbangan lebih kelak, boleh kita luaskan lagi kawasan pengagihan sumbangan,” ujarnya.

Bagi yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian menerusi Instagram @malaysia.prihatin atau terus ke akaun bernombor 8010356849: CIMB Bank  di bawah nama Pertubuhan Prihatin Tanpa Sempadan atau WhatsApp ke talian 017-8218385.