'Saya terima semua teguran' – Zahirah mohon maaf secara terbuka isu perayaan, akui kecuaian jadi pengajaran besar

No Image Caption
A
A
A

PELAKON Zahirah MacWilson tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan hantaran Instagram Story berkaitan sambutan Halloween, Krismas dan Easter.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan, Zahirah mengakui tindakannya menggabungkan tiga sambutan berkenaan secara cuai menimbulkan salah faham dan menyinggung sensitiviti pihak tertentu.

Pemilik nama Nur Zahirah MacWilson Zainol Macwilson, 31, mengambil keputusan memadam hantaran tersebut sejurus menerima teguran menerusi mesej peribadi.

Zahirah turut menjelaskan bahawa dia tidak pernah berniat melabelkan sambutan Krismas dan Easter sebagai sesuatu tidak  baik.

"Saya amat menghormati kepelbagaian budaya, agama dan kepercayaan yang menjadikan masyarakat kita begitu indah.

"Saya menyedari kenyataan saya sama sekali tidak tepat, tidak sensitif terhadap budaya dan langsung tidak sepatutnya dibuat. Sebagai seorang figura awam, saya sepatutnya lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang diperkatakan, terutama apabila melibatkan hal berkaitan agama dan tradisi," kongsinya. 

Malah, Zahirah sedar sebagai figura awam, setiap perkongsian memerlukan pertimbangan lebih teliti, terutama apabila menyentuh perkara berkaitan agama dan tradisi.

"Saya mengambil sepenuhnya tanggungjawab atas apa yang telah diperkatakan dan saya benar-benar, benar-benar memohon maaf.

"Saya komited untuk mendengar, belajar dan membuat refleksi terhadap diri sendiri agar dapat menjadi insan yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menegur saya, termasuk mereka yang menghantar mesej, sama ada positif mahupun negatif. Terima kasih banyak-banyak. Saya menerima semuanya. Sekali lagi, saya benar-benar memohon maaf atas kenyataan tersebut. Ini merupakan satu pengajaran yang sangat besar buat saya," tuturnya.

Zahirah terdahulu memuat naik hantaran mempersoalkan sambutan ajaran kepercayaan agama lain di Instagram Storynya, semalam.

Rata-rata netizen mengecam tindakannya di Threads sekali gus menganggap tindakan tersebut tidak menghormati sensitiviti masyarakat.

Sumber: Instagram

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang