HABIS gelap, terbitlah terang. Demikian metafora ujian melanda pelakon dan pengacara jelita, Amyra Rosli April lalu.

Selepas kesihatan diri sendiri diuji gara-gara penyakit misteri, emosi isteri kepada Amar Baharin ini berlarutan terganggu apabila anak keduanya, Ayra Aryssa diuji penyakit keradangan saluran darah dikenali dengan nama Kawasaki.

Bagaimanapun selepas dugaan berlalu, pelakon drama rantaian Nur di TV3 ini beroleh pelbagai keindahan.

Hos Nona itu dipilih Pengacara Televisyen (TV) Paling Dipercayai pada Anugerah Jenama Dipercayai Reader’s Digest 2022 atau Reader’s Digest Trusted Brands and People Awards, baru-baru ini.

Kemudian, dia disunting pula sebagai wajah kempen tudung, MINAZ Blooming Adha 2022, Kembara Cinta untuk sambutan Aidiladha.

“Benar, ujian yang tiba mematangkan diri. Allah uji kita, tanda sayang. Begitulah resam kehidupan. Tuhan menguji kita takkan berhenti.

“Di sebalik semua kepahitan dan pergelutan itu, saya beroleh kemanisan. Dalam kesibukan mengacara Nona dan memberi tumpuan keluarga, saya yang setahun jagung jadi pengacara diiktiraf.

“Kemudian, rezeki menerpa apabila MINAZ menawarkan kerjasama untuk kempen ini,” ujarnya yang menjalani penggambaran fotografi kempen tudung itu di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan baru-baru ini.

AMYRA ROSLI
Tidak melatah dengan ujian yang diberikan, kini Amyra kembali tersenyum dengan rezeki yang datang kepadanya.

Pemilik nama penuh, Nur Amira Izzati Rosli ini tertarik dengan tema diketengahkan.

“Kembara Cinta yang dipilih untuk kempen raya haji ini bagai tepat memberikan terjemahan apa yang saya lalui sejak lebih 13 tahun menceburi liga seni.

“Termasuk ketika diuji, saya sedar ramai sayang dan cinta diri ini,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MINAZ Hijab, Hafiza Abd Hamid atau lebih dikenali dengan nama Pija MINAZ berkata pemilihan Amyra menepati konsep diketengahkan kali ini.

“Memasuki siri kelima keluaran tudung dengan pernah menggunakan khidmat Kilafairy, Nora Danish dan Nelydia Senrose, kami tidak pernah berputus asa memberi variasi kepada penggemar dan pecinta legasi jenama ini.

“Kini, pertaruhan wajah dan personaliti Amyra pula dilihat bertepatan dengan konsep Kembara Cinta. Wajah manis ketimuran dimilikinya menambah pesona sisi kesopanan dan kesantunan,” jelasnya.

AMYRA ROSLI
Amyra bersama Pija.

Koleksi tudung bawal ‘cotton’ harga ‘rakyat’ berharga RM29 sahaja ini masih berkualiti tinggi dengan pembungkusan setanding jenama premium.

Iklan

Namun, kali ini koleksi diketengahkan lebih berkonsep semula jadi dan lakaran motif bunga luar kotak daripada kebiasaan.

Ia akan dilancarkan pada 25 Jun ini jam 8 malam di www.minaz.com.my dan boleh dibeli dengan stokis serta agen berdaftar seluruh negara.

Hingga kini jenama tudung ini berjaya memenuhi permintaan peminat dengan jualan 1.1 juta helai hingga kini.