PENYANYI era 1980-an, Ibnor Riza meluahkan rasa syukur apabila kerjaya dalam bidang nyanyian masih dapat dipertahankan sehingga ke hari ini, sekali gus menjadi sumber pendapatan menyara keluarga.

Biarpun sudah menjangkau usia 61 tahun, Ibnor yang cukup dikenali dengan lagu-lagu seperti Meneka Dalam Kesamaran, Berdiri Seorang Perindu, Sudah terluka Merindu Pula dan Mimpi Yang Tak Sudah itu tetap tampil dengan suara dan persembahan yang mantap setiap kali beraksi di pentas.

Kelebihan itu menjadikan Ibnor kekal diminati dan tidak putus menerima undangan menjayakan persembahan pentas di seluruh negara.

“Alhamdulillah selepas pandemik semakin reda dan industri seni kembali rancak, saya dapat balik momentum kerjaya nyanyian yang terganggu dalam tempoh itu.

“Saya menyanyi sepenuh masa dan sangat bersyukur apabila orang masih menghargai menerusi pelbagai undangan persembahan sehingga ada kala saya tidak menang tangan.

“Pernah satu ketika saya mengadakan persembahan di beberapa tempat berbeza dalam masa satu hari. Bukan semata-mata kerana bayaran, tetapi ada ketika saya sukar menolak kerana menghargai undangan yang diberikan,” katanya.

Memilih untuk menjalani kehidupan yang sederhana, Ibnor berkata, ada pihak yang menyangka dia sudah tidak aktif dalam nyanyian. Hakikatnya, penyanyi yang bergelar artis rakaman sejak tahun 1986 itu masih ligat menjayakan pelbagai persembahan di sana sini.

“Nyanyian adalah mata pencarian utama saya dan saya tidak pernah buat kerja lain selepas masuk dalam industri. Mungkin orang tak nampak, sebab jarang muncul di kaca TV.

“Syukur rezeki sentiasa ada untuk anak-anak dan keluarga. Bila selalu bersyukur dengan apa yang ada, kita akan rasa cukup.

“Ramai rakan saya dah mula terlibat dengan perniagaan, tetapi saya tetap dengan nyanyian kerana inilah perkara yang saya minat nak buat sehingga kini,” jelasnya.

Iklan

Bayaran

Biarpun ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan bayaran rendah kepada artis-artis lama sepertinya, Ibnor mengakui tidak pernah berdepan situasi tersebut kerana sentiasa tegas dalam urusan itu selain teguh berpegang pada prinsip.

Katanya, setakat ini belum pernah lagi dibayar dengan harga tidak masuk akal kerana akan terlebih dahulu menetapkan harga munasabah, bersesuaian dengan kredebilitinya.

“Harga tersebut tidak tinggi dan tidak rendah, tetapi sesuai dengan bakat dan pengalaman saya selama 37 tahun dalam industri. Bagaimanapun jika pihak terbabit tidak bersetuju dengan harga itu, dia ada pilihan untuk memanggil artis lain. Saya okay sahaja dan tidak ada masalah.

Iklan

“Mungkin ada pihak yang anggap saya berlagak, tetapi saya cuma mahu memanfaatkan bakat dan pengalaman saya.

“Kalau kita setuju turunkan harga hari ini, mungkin pada lain masa mereka akan minta harga yang lebih rendah lagi dan begitulah seterusnya, Jadi, saya kena tegas,” katanya.

(FOTO: Saudagar Seni)