BIARPUN industri seni mengalami kesuraman kesan pandemik Covid-19 sejak hampir dua tahun lalu, penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah sentiasa positif demi kelangsungan hidup.

Di saat banyak perancangan seninya tertangguh, Jamal, kini memberi fokus kepada bidang perniagaan yang diusahakan.

“Sudah hampir dua tahun kita dalam pandemik. Banyak perancangan seni saya, termasuk konsert meraikan empat dekad penglibatan dalam industri terpaksa ditangguhkan.

“Kecewa memanglah kecewa, tetapi kita pun tak boleh duduk diam menunggu saja. Jadi sementara keadaan industri kembali aktif, saya fokus dulu kepada bidang perniagaan.

“Alhamdulillah perniagaan ikan Arowana yang saya usahakan mendapat sambutan. Daripada hanya hobi, ia kini mampu menjana keuntungan,” katanya kepada SinarPlus.

Tambah penyanyi Penghujung Rindu itu, dia kini turut berjinak-jinak dalam perniagaan kosmetik di bawah jenama Zarania yang diusahakan bersama pengasas produk kecantikan Natasya.

“Kami memulakan kerjasama menerusi jenama Zarania Beauty dan salah satunya menggunakan nama anak saya, Azura. Insya-ALLAH pelancarannya akan diadakan tidak lama lagi.

“Walaupun masih baharu, saya yakin ia akan mendapat sambutan ramai kerana produk itu bukan sahaja untuk wanita sahaja, tetapi juga lelaki.

“Perniagaan ini turut melibatkan isteri saya kerana dia amat sukakan produk kecantikan. Jadi dia juga menjadi duta produk ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamal berkongsi keterujaan bakal menimang anak kelima tidak lama lagi, apabila isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin hamil tiga bulan.

“Saya bersyukur diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata lagi. Ada rakan-rakan saya yang lama menunggu nak dapatkan zuriat, tapi saya pula ALLAH bagi rezeki dengan jarak dekat setiap anak.

“Ia satu tanggungjawab besar buat saya dan isteri untuk mendidik mereka dengan sebaiknya nanti,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Jamal mengakui turut membantu menguruskan anak-anak yang masih kecil bagi meringankan beban isteri.

“Saya kasihan tengok isteri tak menang tangan uruskan anak-anak. Apatah lagi mereka masih menyusu badan dan sentiasa berjaga malam.

“Jadi mana yang boleh saya bantu seperti mandikan anak atau keperluan lain, saya buat. Kami ada pembantu, tetapi dalam soal anak saya suka buat sendiri kerana mahu bina ikatan kasih sayang,” jelasnya.

Iklan

Berkongsi rahsia dirinya kekal sihat meski sudah menginjak usia 62 tahun, Jamal berkata, dia mengamalkan senaman secara konsisten selain memilih pamakanan sihat.

“Kalau mahu sihat, kenalah sentiasa aktif. Jaga pemakanan, banyakkan bersenam dan sentiasa menjaga kesihatan diri.

“Kita tak boleh culas, sebaliknya kena buat secara konsisten. Saya sendiri tak pernah tinggalkan amalan bersenam sejak 10 tahun lalu. Malah saya mempunyai beberapa peralatan senaman di rumah.

“Kalau letih nak jogging, saya akan berjalan laju atas treadmill selama setengah jam setiap hari. Ia sangat membantu dan menjadikan saya sentiasa cergas,” katanya.