HEBAT dan mempunyai aura tersendiri. Itu gambaran paling tepat bagi menyingkap konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu lalu.

Konsert istimewa dua beradik yang berlangsung selama hampir tiga jam itu ternyata mencipta memori indah buat 2,800 penonton yang rata-ratanya terdiri daripada peminat setia yang menyokong kerjaya seni mereka selama beberapa dekad dalam industri.

Baik Anuar, 52, mahupun Ziana, masing-masing masing tampil dengan sebuah persembahan cukup hebat, sekali gus membuktikan keunggulan mereka sebagai penyanyi legenda disegani.

Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, 54, meluahkan rasa syukur apabila masih mendapat sokongan padu daripada peminat meski sudah lama tidak tampil dengan konsert berskala besar seperti itu.

“Alhamdulillah akhirnya konsert yang menyatukan kami berdua ini menjadi kenyataan selepas gandingan pertama di Singapura sekitar 12 tahun lalu.

“Ini adalah permintaan peminat dan saya berbesar hati apabila dapat merealisasikan konsert ini sebagai tanda penghargaan buat mereka yang tidak putus-putus menyokong kerjaya seni saya selama berada dalam industri.

“Seminggu saya tidak dapat tidur malam memikirkan perjalanan konsert ini. Gementar kerana sudah lama tidak tampil menjayakan persembahan begini, selain memikirkan jangkaan penonton terhadap kami berdua,” ujarnya yang anggun mengenakan persalinan rekaan Amaze dan Rizman Ruzaini untuk konsert tersebut.

Anuar dan Ziana cipta memori indah buat seluruh penonton yang hadir dengan memberi persembahan hebat menerusi seleksi lagu-lagu popular mereka.

Senada dengan Ziana, Anuar juga tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila melihat sambutan luar biasa diberikan penonton.

“Apa yang kami harapkan agar semua yang hadir terhibur dengan persembahan yang ditampilkan. Semoga kami berjaya memberikan kegembiraan kepada mereka sepanjang konsert ini.

“Bukan senang untuk kami berdua bergabung pada satu pentas begini. Perancangan untuk mengadakan persembahan bersama ini juga beberapa kali dibuat pertimbangan semula kerana vokal kami berbeza dan sangat mencabar untuk disatukan.

“Apa-apa pun alhamdulillah kali ini ia menjadi kenyataan dan saya sangat berterima kasih pada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan konsert ini,” katanya.

Konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu menyaksikan gandingan penyanyi itu menyampaikan seleksi lagu-lagu hits yang pernah menaikkan nama mereka dalam industri.

Persembahan dimulakan dengan lagu rancak, Sangkar Cinta dan Bila Resah yang disampaikan secara medley.

Diiikuti persembahan memukau Ziana menerusi lagu Puncak Kasih, Menadah Gerimis, Anggapanmu, Madah Berhelah, Sedetik Lebih (nyanyian asal Anuar) dan lagu yang belum pernah dinyanyikan dalam mana-mana persembahan, Terlerai Kasih.

Sementara Anuar pula menghiburkan para peminat dengan rangkaian lagu seperti Ketulusan Hati, Mungkin, Lelaki Ini, Keabadian Cinta, Cinta Takkan Berakhir dan Lara (nyanyian asal Ziana).

Bukan sahaja nyanyian solo, tetapi Anuar dan Ziana juga tampil berpadu suara menerusi duet Sesuci Cinta Mu, Lembah Asmara dan Di Akhir Garisan.

Pemilihan lagu yang tepat itu menyaksikan seluruh peminat yang hadir turut menyanyi bersama-sama sejak awal konsert bermula sehingga ke penghujungnya.

Iklan

Menitiskan air mata

Tidak hanya bersaksikan peminat, tetapi persembahan duo dinamik itu turut disaksikan kedua-dua ibu bapa mereka, Zin Abdullah dan Robiah Abdul serta anak lelaki Ziana iaitu Muhammad Ammar, 22, dan Muhammad Aiman, 17.

“Mereka adalah pembakar semangat kami sepanjang berada dalam industri dan kehadiran mereka pada konsert ini adalah sesuatu yang cukup bermakna buat kami berdua,” ujar Ziana yang sebak mengenangkan pengorbanan ibu-bapanya.

Konsert tersebut turut dimeriahkan rakan selebriti seperti Awal Ashaari, Scha Alyahya, Dr Soo Wincci, Fara Fauzana, Shuib, Rozita Che Wan, Misha Omar, Ernie Zakri, Syamel dan Noryn Aziz.

Sama-sama hebat! Anuar dan Ziana penuhi permintaan dan harapan peminat yang mahu menyaksikan gandingan mereka di pentas.

Pada malam gemilang itu juga, penonton bukan sahaja terpukau dengan alunan padu suara mereka, tetapi turut terhibur dengan celoteh dan gurau senda bersahaja kedua-duanya di pentas.

Pasangan adik-beradik ini sememangnya terkenal dengan sikap merendah diri dan bijak mengambil hati para peminat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan lapisan umur.

Iklan

Anuar yang turut turun pentas untuk bertemu peminat lebih dekat terharu apabila ada peminat begitu teruja dapat bersama dengan mereka sehingga menitiskan air mata.

Ternyata dua penyanyi ini mempunyai pengaruh yang tersendiri dan sukar dinafikan sesiapa pun. Meski usia sudah menjangkau setengah abad, kemampuan vokal dan persembahan mereka tetap berada di kelas teratas.

Meneruskan magis itu, Anuar dan Ziana turut mengumumkan konsert tersebut bakal dibawa ke Singapura pada 24 September depan.

(FOTO: TRUMPET INTERNATIONAL)