PRIHATIN dengan keadaan mangsa banjir yang teruk terjejas, bintang Hollywood tersohor kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh turun padang menyertai kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, pada Sabtu.

Kehadiran Michelle, 59, menarik perhatian ramai yang mungkin tidak menyangka bintang popular itu turut bersama-sama para sukarelawan lain untuk melakukan kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda 2.

Hadir bersama pelakon utama filem Shang-chi and The Legends of the Ten Rings dan Crazy Rich Asian itu ialah tokoh konglomerat, Tan Sri Vincent Tan.

Difahamkan kerja-kerja pembersihan tersebut dilakukan bersama pasukan 502 Askar Wataniah di bawah Divisyen Ke-4 Infantri Malaysia (4 Div), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Yayasan Taiwan Buddist Tzu-Chi Malaysia.

“Ini semangat Krismas yang sebenar. Terima kasih kepada semua.

Iklan

“Saya amat terharu melihat orang ramai yang bersama di sini tidak kira agama, bangsa atau warganegara yang turun membantu mangsa banjir,” kata Michelle sebagaimana dilaporkan Awani.

 

Iklan

(FOTO: Astro Awani & Instagram Michelle Yeoh)