PELAKON dan pengacara, Mira Filzah memberitahu akan meneruskan kerjaya seperti biasa dan bersedia menimang cahaya mata pada bila-bila masa.

“Saya akan terus menyambung kerjaya dengan lakonan seperti biasa dan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat atas segala sokongan yang diberi sejak awal kerjaya saya sehingga hari ini.

“Kami juga tidak merancang soal cahaya mata, jika dikurniakan cepat, kami terima dengan hati terbuka,” katanya.

Celah Wan Emir Astar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar sebagai suami dan mengahwini seorang figura popular, dia sudah bersedia untuk mengharungi apa jua dan akan tetap berada di samping isteri tercinta.

“Saya tak tahu nak bayangkan cabaran apabila berkahwin dengan individu popular tapi saya akan ikut sahaja rentaknya.

“Kami akan cuba berkomunikasi sebaik mungkin Insya-ALLAH sebagai suami, saya akan terus berada di sisinya.

“Lagipun saya mengenali dia sebagai anak seni tapi saya tahu batasan dia, jadi tidak ada masalah buat saya,” jelasnya.

Iklan
MIRA-EMIR
Bak pinang dibelah dua… Mira mendirikan rumahtangga dengan anak sulung kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid iaitu Emir, 30, pada 3 September lalu.

Dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Khamis lalu, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 27, dan Emir, dinikahkan oleh bapa Mira, Ir. Badioezaman Ab. Khalik sambil disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Abdul Nasir Abdullah.

Pada majlis bertemakan Mihrab Cinta itu, Mira menggayakan busana baju kurung Pahang rekaan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini dan solekan oleh Yna Sakinah.

Iklan

Mira sebelum ini mengakui mereka mula berkenalan pada Oktober tahun lalu sebelum Emir menghantar rombongan keluarga untuk merisik dua bulan kemudian.

Majlis pertunangan mereka telah berlangsung pada 17 Julai 2020, manakala dua lagi majlis perkahwinan dilangsungkan pada 4 September di Le Meridian Putrajaya dan diikuti di A-Park Pulau Meranti Puchong pada 6 September 2020.