BIARPUN rezeki tidak menyebelahinya untuk bergelar juara program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) dan menggondol wang kemenangan berjumlah RM100,000, pada Ahad lalu, penyanyi Nikki Palikat tetap meneruskan niatnya untuk melakukan ubah suai rumah ibu bapanya, di Tambunan, Sabah.

Menerusi petikan video yang disiarkan sebelum Nikki, 36, melakukan persembahan di pentas akhir GV8, penyanyi yang dicungkil bakatnya daripada program Malaysia Idol itu memberitahu, sekiranya menang dia berazam mahu menggunakan wang itu untuk tujuan tersebut.

“Walaupun tak begelar juara, tapi saya tetap mahu menggunakan wang kemenangan saya sebagai naib juara sebanyak RM50,000 itu untuk kesenangan ibu bapa saya.

“Sebelum ini saya memang dah sematkan azam untuk ubah suai rumah orang tua saya di Sabah. Saya dan adik merancang untuk buat bilik mereka di bawah.

“Dalam keadaan usia mereka yang semakin meningkat, saya bimbang jika selepas ini mereka dah tak larat untuk naik ke bilik tingkat atas.

Iklan

“Jadi tak kisahlah menang di tempat keberapa pun, saya tetap akan teruskan niat untuk gunakan wang itu untuk bahagiakan mereka,” ujar Nikki.

GV8 menyaksikan gelaran juara menjadi milik Aliff Aziz yang membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang RM100,000 dan trofi, diikuti Nikki sebagai Naib Juara (RM50,000) dan Suki Low di tempat ketiga (RM30,000).

Iklan

(FOTO: Azrul Rafi – Astro)