Nobody buat penonton tidak senang duduk
SETELAH banyak filem tertangguh tayangannya akibat pandemik pada tahun lalu, penonton kini teruja apabila seleksi filem menarik mula mengisi tayangan di pawagam.
Salah satunya ialah filem aksi thriller berjudul Nobody yang menampilkan lakonan hebat daripada Bob Odenkirk.
Naskhah garapan penulis sama filem John Wick itu mengisahkan tentang seorang lelaki, Hutch Mansell yang berdepan kehidupan suram apabila sering diremehkan orang sekeliling termasuk keluarganya sendiri.
Dia melalui rutin sama setiap hari tanpa semangat. Bagaimanapun, semuanya berubah apabila rumahnya dimasuki perompak.
Meskipun ada kemampuan untuk melawan, Hutch melepaskan perompak berkenaan, namun kembali memburunya apabila menyedari barang kesayangan milik anak perempuannya telah hilang.
Kejadian itu akhirya membongkar sisi gelap Hutch yang telah lama ditinggalkan. Daripada seorang yang tenang dan penyayang, dia bertukar menjadi agresif dan mengeluarkan segala emosi yang disembunyikan selama ini. Siapa sebenarnya Hutch?
Filem ini bermula dengan agak perlahan pada awalnya, namun selepas perkembangan karakter Hutch, kejutan demi kejutan diberikan kepada penonton.
Kekuatan utama Nobody tentunya daripada babak-babak aksi hebat dan realistik yang ditampilkan dengan penuh meyakinkan.
Pengarah dilihat bijak dan kreatif menggunakan kelebihan yang ada untuk menarik perhatian penonton dengan menyajikan aksi-aksi pertarungan yang cukup menghiburkan.
Daripada aksi tembak-menambak, kejar-mengejar sehinggalah kepada aksi pertarungan kejam, ternyata berjaya membuatkan penonton tidak senang duduk.
Tidak kurang juga lakonan terbaik oleh Bob Odenkirk sebagai Hutch yang berjaya memberikan impak tersendiri kepada karakternya menerusi dua emosi berbeza sebagai lelaki yang tenang dan penyayang kepada agresif.
Tidak dinafikan filem ini mempunyai aura John Wick, namun secara keseluruhannya, ia mempunyai kelebihan tersendiri. Kelemahan-kelemahan kecil berjaya ditutup dengan kreatif oleh pengarahnya.
Bakal menemui penonton pada 13 Mei ini, Nobody merupakan sebuah filem yang berbaloi untuki ditonton, terutamanya kepada peminat filem aksi.
Nobody
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 18
Genre: Aksi/thriller
Durasi: 1 jam 32 Minit
Tarikh Tayangan: 13 Mei 2021
Pengarah: Ilya Naishuller
Pelakon: Bob Odenkirk, Connie Nielsen, Christopher Lloyd dan RZA
Bintang: 3.5/5
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang