[VIDEO] "Ikutkan hati nak pindah Perancis tapi..."- Nourul Depp berhijrah Julai ini, akan rindu nasi kandar
PENYANYI Nourul Wahab Depp sebelum ini berkongsi cerita bakal berhijrah ke Bali, Indonesia bersama suami, Eric Daniel Depp dan tiga cahaya matanya Zachary, 8, Raphael, 6, dan Isabella berusia dua tahun.
Pun begitu, anak perempuan sulungnya, Ayu Nazirah, 23, hasil perkahwinan terdahulu bersama komposer Ajai dimaklumkan akan kekal berada di Malaysia.
Ini disebabkan Ayu akan menguruskan team Diva Kurus iaitu bisnes syarikat nutrisi di Kuala Lumpur yang diusahakan mereka.
Mengapa secara tiba-tiba pelantun lagu Kerana Terluka itu ingin berhijrah ke luar negara pada pertengahan Julai ini?
Dan, mengapa Bali pula menjadi pilihan bukannya negara kelahiran suaminya di Perancis?
Jom ikuti kupasan lanjut sesi Live SinarPlus kendalian Addy Junaidi bersama pemilik nama sebenar Noorulhuda Abdul Wahab baru-baru ini.
Boleh kongsikan, apa yang mendorong Nourul sekeluarga ambil keputusan berpindah ke Bali?
Sebenarnya hasrat berhijrah sudah lama dibuat, malah sebelum bernikah kami telah merancang bina kehidupan di Perancis.
Namun begitu, terpaksa ditangguhkan kerana belum bersedia tambahan pula enggan meninggalkan Ayu yang masih belajar.Sebenarnya bukan niat nak meninggalkan Malaysia cuma ingin meneroka benda baharu di luar negara.
Bersyukur kerana setakat ini semua urusan dipermudahkan yang mana sekolah anak-anak di sana pun sudah selesai termasuk visa.
Ini bermakna keputusan berpindah ke luar negara bukanlah kerana merajuk seperti mana yang didakwa?
Kalau nak berbicara mengenai sensitif ataupun emosi panjang ceritanya. Merajuk adalah sedikit sehingga menguatkan lagi keputusan untuk berpindah, tetapi itu bukan matlamat dan penyebab utama.
Fokus saya kini lebih tertumpu pada suami, anak-anak, bisnes dan team Diva Kurus yang sentiasa menzahirkan sokongan.
Mengapa Bali menjadi pilihan berbanding negara-negara lain?
Ikutkan hati nak berpindah ke Perancis walaupun keadaan di sana mungkin berbeza dengan di sini.
Misalnya, saya perlu menguruskan rumah tangga tanpa khidmat pembantu rumah, tetapi tidak mengapa.
Menariknya di Perancis adab, budi bahasa dan budaya masyarakat tempatan sama seperti di Malaysia. Cuma buat masa ini suami enggan pulang ke kampung halaman (ketawa).
Ini disebabkan bisnes yang diusahakan sedang berkembang di Asia. Jadi kami tidak boleh berpindah ke negara yang mana zon masanya berbeza.
Lagipun Bali menjadi pilihan kerana Eric selesa dengan budaya, cuaca, ketenangan dan persekitaran. Tambahan pula di sana terdapat sekolah yang menawarkan silibus kemahiran terbaik buat anak-anak.
Pun begitu, sekarang ini sukar untuk menjangkakan sama ada saya mampu adaptasi dengan kehidupan di Bali ataupun sebaliknya. Tapi, demi anak-anak dan suami saya cuba lakukan yang terbaik.
Apabila berpindah ke Bali nanti Nourul tak rindu ke hidangan nasi kandar?
Semestinya rindu! Tapi nak buat lagu mana (macam mana), masak sendirilah walaupun rasanya tidak sama.
Insya-ALLAH sebelum berhijrah saya nak mencari nasi kandar di restoran sekitar Kuala Lumpur.
Maklumlah, hendak membeli di Pulau Pinang aktiviti merentas negeri tidak dibenarkan. Pada masa sama, teringin menikmati lauk ikan patin masak tempoyak.
Bercakap mengenai urusan berpindah difahamkan ketika mengemas Nourul terjumpa cincin perkahwinan pertama. Lalu berkongsi di media sosial untuk menjual bagi tujuan amal.
Tapi, lain pula cerita yang berlaku apabila warga maya mempertikaikan mengapa cincin itu tidak diserahkan sahaja kepada Ayu?
Situasinya bermula ketika proses mengasingkan barang yang akan dibawa ke Bali. Tiba-tiba terjumpa cincin perkahwinan pertama yang disimpan lama di dalam almari. Walhal, dah banyak kali pindah rumah.
Jadi perkara pertama saya lakukan adalah menawarkan cincin tersebut kepada Ayu, namun dia menolak kerana kurang berminat pada barang kemas dan meminta saya menjualnya.
Bertitik tolak daripada itu saya mengambil inisiatif menjual cincin perkahwinan untuk tujuan amal. Harga bidaan bermula RM300. Hasilnya disalurkan bagi membantu golongan memerlukan.
Artikel berkaitan: Nourul Depp Mahu Jual Cincin Perkahwinan Untuk Tujuan Amal
Titipan istimewa Nourul buat para peminat?
Terima kasih kepada mereka yang sentiasa menyokong saya daripada dulu sehingga hari ini.
Biarpun bakal berpindah ke Bali jangan bimbang kerana kita sentiasa 'dekat' dengan bantuan teknologi komunikasi antaranya Instagram.
Foto: Instagram @nouruldepp
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang