BAND popular Indonesia, Padi Reborn bakal mengubat rindu peminat atau lebih dikenali sebagai SobatPadi di Malaysia apabila bakal tampil dengan sebuah konsert istimewa di Zepp Kuala Lumpur pada pada 3 Disember depan.

Konsert 25 Tahun Padi Reborn itu adalah bersempena sambutan jubli perak mereka dalam dunia muzik nusantara.

Pengasas dan pemain gitarnya, Piyu berkata, persembahan tersebut begitu bermakna buat mereka dan tidak sabar untuk bertemu peminat di Malaysia.

“Ini adalah sebuah kesempatan yang mengujakan buat seluruh anggota Padi Reborn kerana akan merayakan perjalanan dan ulang tahun kami yang ke-25 di Malaysia.

“Terima kasih kerana masih mahu berjalan harmoni dengan Padi Reborn lagi,” ujarnya yang kali terakhir mengadakan konsert di Malaysia pada tahun 2018.

Selain Piyu, Padi Reborn yang memulakan langkah awal dalam dunia hiburan dengan nama Padi sekitar tahun 1997 itu turut dianggotai oleh Fadly selaku vokalis, Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram).

Iklan

Kumpulan yang pernah meledak dengan album Lain Dunia itu mempunyai pengaruh dan peminatnya sendiri bukan sahaja di Indonesia tetapi juga negara serantau termasuk Malaysia.

Iklan

Konsert 25 Tahun Padi Reborn anjuran Qew Communications Sdn Bhd (Qew Comm) itu pastinya menjadi sesuatu yang cukup istimewa buat SobatPadi yang menyokong mereka selama ini.

Tiket konsert dijual dengan harga bermula RM199 sehingga RM269, selain tiket VIP berharga RM6,000. Pembelian boleh dibuat menerusi laman sesawang https://www.ticket2u.com.my bermula 28 September lalu.