PENGACARA popular Datuk Aznil Nawawi berkongsi hasratnya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dengan segera dan bersedia untuk membayar kos yang ditetapkan tanpa perlu menunggu giliran.

Menurut Aznil atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nil, 59, usaha itu secara tidak langsung memberi ruang menunggu miliknya kepada orang lain yang mungkin perlu mengambil masa lebih lama untuk menerima pemberian vaksin percuma oleh kerajaan yang diberikan secara berperingkat.

“Proses pemberian vaksin secara percuma itu dilakukan secara berperingkat-peringkat. Keutamaan akan diberikan kepada warga tua dan petugas barisan hadapan.

“Yang lain perlu mendaftar secara dalam talian dan tunggu giliran. Mungkin lima hingga 10 bulan akan datang.

“Mungkin ada juga peluang untuk dapatkan vaksin dengan cepat dan tak perlu tunggu giliran dengan sedikit bayaran. Jadi Pak Nil ingat nak ambil yang berbayar.

“Bagi saya, kalau boleh dapatkan suntikan dengan lebih cepat secara berbayar, apa salahnya keluar daripada barisan menunggu dan bagi orang lain mengambil tempat saya itu agar proses untuk mereka yang dapat secara percuma itu akan jadi lebih cepat,” katanya.

Dalam pada itu, Pak Nil juga berbesar hati untuk menaja peminat dan pengikutnya yang terpilih untuk mendapat suntikan tersebut bersamanya.

Iklan

“Ada sesiapa yang nak join saya? Saya akan taja, tapi tak ramailah kerana harga suntikan itu pun belum tahu lagi,” ujarnya.

Rata-rata peminat dan pengikut Pak Nil memberikan respon positif dan merakamkan penghargaan mereka kepada pengacara popular itu yang sentiasa prihatin dan sentiasa memikirkan kepentingan bersama.

Iklan

 

(SUMBER: Instagram Datuk Aznil Nawawi)