Pengalaman alami tekanan cetus keinginan Sarimah Ibrahim bantu pesakit mental
PENGALAMAN berdepan dengan masalah kemurungan mendorong penyanyi dan pengacara terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim untuk melangkah setapak ke hadapan bagi membantu mereka yang mengalami masalah serupa.
Lebih-lebih lagi, sejak setahun kebelakangan ini, atau lebih tepat selepas pandemik Covid-19 melanda Malaysia, banyak kisah masalah mental seperti tekanan dan bunuh diri dilaporkan.
Justeru sempena sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia baru-baru ini, Sarimah berkolaboratif bersama penyanyi dan komposer, Damian Mikhail untuk tampil dengan lagu Harapan.
Lagu bertemakan R&B pop ini merupakan hasil ciptaan Damian dan dinyayikan oleh Sarimah serta Damian sendiri.
“Penjagaan kesihatan mental sangat penting bagi setiap individu dan saya sangat risau dengan kesihatan mental rakyat Malaysia sekarang.
“Saya harap lagu ini dapat menarik sesiapa yang berada di luar sana yang berasa keseorangan, ketakutan, tiada harapan hidup untuk bangkit dan mengetahui bahawa mereka tidak keseorangan.
“Saya juga pernah berdepan dengan masalah kemurungan dua tahun lepas. Jadi saya tahu penjagaan kesihatan mental sangat penting untuk semua individu.
“Harapan saya agar semua dapat meminta bantuan dan tidak mengalami diskriminasi sama ada di sekolah, di tempat kerja, bersama kawan-kawan, di mana sahaja mereka berada,” katanya ketika ditemui pada pelancaran single baharu dan muzik video Harapan, baru-baru ini.
Sarimah yang juga penaung Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) Malaysia merangkap Pengasas Bersama dan Duta Kempen #StandForHope berkata, dia berharap lagu ini dapat meraih perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menjadi sebahagian daripada kempen kesedaran sempena sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.
“Kalau Yang Berhormat (YB) KJ (Khairy) tak keberatan untuk ketengahkan lagu ini sebagai tanda sokongan inisiatif Yayasan ZuriatCare dan Awareness Against Suicide dalam memberi kesedaran kepada rakyat, ia sangat dialu-alukan.
“Kempen ini juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial untuk kita sentiasa ambil tahu keadaan emosi insan terutama keluarga, rakan serta jiran tetangga bagi mengelakkan berlaku perkara menyedihkan kelak,” ujarnya.
Ditanya mengenai masalah kemurungan yang pernah dialami sebelum ini, Sarimah mendedahkan mengalami masalah itu selepas melahirkan puteri sulungnya, Tunku Sofia Najihah, dua tahun lalu.
“Ketika alami kemurungan itu, saya berhadapan dengan masalah menggeletar badan, sering menangis, sukar untuk tidur serta tak dapat pegang anak sendiri tanpa sebarang sebab yang sukar untuk dijelaskan.
“Saya seolah-olah hilang harapan waktu itu dan fikir saya dah tak waras. Pada ketika itu saya tidak sedar ia sebenarnya tanda awal kemurungan.
“Kemudian saya berjumpa doktor dan pada ketika itu baharu saya tahu saya mengalami masalah kemurungan selepas melahirkan ini memang sering dialami oleh ramai wanita yang bergelar ibu.
“Alhamdulillah, dengan bantuan pakar, kesulitan itu dapat diatasi, malah dari situ saya mahu menolong orang lain melawan stigma menerusi perkongsian informasi supaya semua anggota masyarakat berpeluang dapat bantuan sebelum terlambat,” jelasnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang