PENYANYI popular era 80-an, Ibnor Riza, 62, kini berdepan ujian berat apabila menghidapi beberapa jenis penyakit secara serentak seperti darah tinggi, kencing manis, leher bengkak, malah turut hilang suara sejak tiga bulan lalu.

Berita tersebut dikongsi pelakon Fauziah Ahmad Daud menerusi satu perkongsian di akaun Facebook.

Menurutnya, Ibnor yang cukup dikenali dengan lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu kini menghidap pelbagai penyakit dan sedang dalam proses rawatan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa beliau sekarang sedang dalam dugaan dengan pelbagai penyakit yang datang dengan serentak dalam masa yang sama.

“Pembedahan untuk mengeluarkan cecair nanah pada lehernya yang membengkak juga terpaksa ditangguhkan atas nasihat doktor pakar kerana bacaan gula dalam darah terlalu tinggi.

“Sekarang beliau sedang dalam proses rawatan daripada pakar perubatan,” ujarnya.

Difahamkan Ibnor kini terpaksa menolak banyak undangan nyanyian kerana kehilangan suara.

Menerusi perkongsian sama, Fauziah turut memohon orang ramai agar mendoakan kesihatan Ibnor kembali sembuh.

Iklan

“Saya dengan rendah hati memohon kepada semua sahabat agar doakan yang terbaik buat sahabat kita Ibnor Riza Ibrahim agar Allah permudahkan bantuan dan urusan daripadaNya, supaya Ibnor Riza cepat-cepat sembuh dan bebas dari setiap penyakitnya.

“Bagi sahabat-sahabat yang ingin menghulurkan bantuan kewangan seikhlas mungkin kepada beliau, bolehlah berbuat demikian untuk meringankan bebanan yang ditanggungnya ini,” katanya.

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.