SETELAH dua minggu berturut-turut berada di tangga terbawah, Pat Candy akhirnya menamatkan persaingan di pentas Gegar Vaganza 9 (GV9), apabila diumumkan tersingkir pada konsert minggu kelima yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Pada minggu yang mengangkat tema Ku Seri Namamu Bertamu dan berkonsepkan duet itu, Pat tampil menyampaikan lagu Babak Pertama nyanyian asal Drama Band bersama Aepul Roza.

Bagaimanapun persembahan tersebut kurang memikat hati juri dan mendapat markah paling rendah dengan 58.40 peratus.

“Saya memang sentiasa bersedia jika terkeluar. Bermula dari minggu kedua, apabila tiba segmen Ada Lagu Ada Lagi, saya selalu rasa akan terkeluar. Alhamdulillah terkeluar pada minggu kelima ini, sudah cukup jauh bagi saya.

“Kepada peminat Candy, terima kasih kerana menyokong saya dan nantikan single terbaharu kami tidak lama lagi,” ujarnya sebaik diumumkan tersingkir.

Dalam pada itu, Jaclyn Victor sekali lagi berada di carta teratas dan mendapat markah tertinggi sepanjang lima minggu GV9 berlangsung iaitu 92.40%. Persembahan padu Jac bersama Aina Abdul menerusi lagu Cinta nyanyian asal Marsha Milan itu mendapat pujian dan komen positif daripada barisan juri, selain menjadi bualan hangat warga maya di laman media sosial.

Kedudukan itu sekali gus melayakkan dirinya dinobatkan sebagai Bintang Memukau Adabi dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000 dan produk Adabi berinali RM500.

Sementara itu Anugerah Juara Next Level Digi (undian peminat) pada minggu ini dimenangi oleh Hazrul Nizam dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, manakala Anugerah Bintang Cuckoo pula menjadi milik Bob Yusof dan memenangi periuk serbaguna bertekanan tinggi Cuckoo bernilai RM2,700.

Kesemua peserta diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.

Iklan

Persaingan di pentas GV9 diteruskan pada minggu hadapan bersama Jaclyn Victor, Shila Amzah, Fuad Rahman, Bob Yusof, Tomok, Tom, VE, Hazrul Nizam, Dina Nadzir dan Asheed Def Gab C.

GV9 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Elly Mazlein disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam.

Iklan

Kedudukan dan markah peserta pada minggu kelima

1. Jaclyn Victor & Aina Abdul – Cinta (92.40%)
2. Shila Amzah & Mimi Fly – Tamparan Wanita (82.20%)
3. Fuad Rahman & Naqiu – Gemuruh (81.70%)
4. Bob Yusof & Zizi Kirana – Ombak Rindu (81.40%)
5. Tomok & Suki Low – Mawarku (79.20%)
6. Tom & Muss – Senja Nan Merah (76.40%)
7. VE & Nikki Palikat – Hanya Memuji (76.00%)
8. Hazrul Nizam & Liza Hanim – Haram (73.90%)
9. Dina Nadzir & Kaka Azraff – Karma (67.60%)
10. Asheed Def Gab C & Tam Spider – Angin (66.20%)
11. Pat Candy & Aepul Roza – Babak Pertama (58.40%)

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO)