SOKONGAN peminat yang kuat dan persembahan mantap yang dipersembahkan menjadi kelebihan buat Rahmad Mega untuk diumumkan sebagai juara program realiti terbaharu terbitan TV3, Terpaling Juara pada Ahad.

Pentas final yang bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam menyaksikan Rahmad membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM100,000 berserta trofi.

Pada persembahan final, vokalis kumpulan Mega itu membawakan lagu Ku Akui dendangan asal Hafiz Suip untuk segmen solo.

Bagi segmen duet bersama kapten sendiri iaitu Hael Husaini, mereka menyampaikan lagu rock popular kumpulan Wings, Di Penjara Janji.

Aqmal Ramdan, 25, diumumkan sebagai pemenang tempat kedua, sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, Hazami di tempat ketiga dan Shaz di tempat keempat.

Peserta di bawah kendalian kapten Naim Daniel itu memberi persembahan bertenaga menerusi lagu Sampai Syurga untuk segmen solo dan Di Amaran Mama (duet bersama Naim Daniel) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi.

Dalam pada itu, Hazami yang membawakan lagu Luluh (solo) dan Joget Angan Tak Sudah (duet bersama Akim Ahmad) membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 berserta trofi. Manakala peserta junior bawah kendalian Hael iaitu Shaz menerima hadiah berupa wang tunai RM10,000 dan trofi.

Terpaling Juara yang merupakan program realiti format baharu terbitan TV3 yang menyaksikan persaingan seramai enam orang peserta bawah kendalian tiga orang kapten.

Iklan

Setiap kapten yang terdiri daripada Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim Daniel mempunyai dua orang peserta iaitu senior dan junior, menjadikan jumlah peserta keseluruhan program tersebut seramai enam orang.

Format pertandingan Terpaling Juara bertemakan senarai lagu Anugerah Juara Lagu (AJL) yang diberi nafas baharu.

Iklan

Musim pertama Terpaling Juara memulakan saingan pada 21 Ogos lalu menyaksikan dua peserta iaitu penyanyi Ifa Raziah (kapten Naim) dan Aqeesh Aleeya (Akim) tersingkir.

Program yang bersiaran setiap Ahad jam 9 malam tersebut diadili oleh barisan juri profesional tetap iaitu Datuk Hattan dan Fauziah Latiff. Manakala Datuk Seri Siti Nurhaliza hadir sebagai juri undangan istimewa.