Rekod pantas siap rakam lagu kurang 10 minit, mengenang perjalanan Allahyarham Suhaimi Saad dalam industri nasyid

SEMALAM rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian bekas anggota kumpulan nasyid Inteam, Suhaimi Saad yang menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 7.40 malam.

Dikhabarkan, sejak empat bulan lalu, Allahyarham telah mengalami masalah batuk kronik manakala cirit-birit sejak tiga bulan lepas.

Beberapa hari yang lalu, media melaporkan bekas penyanyi nasyid itu telah mengalami kegagalan organ dalaman yang menyebabkan beliau ditidurkan.

Difahamkan juga, beliau telah bergantung pada alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Johor.

Sakit yang dialaminya membuatkan dirinya kehilangan berat badan dengan mendadak, sebelum ‘segalanya’ tamat selepas beliau pergi menghadap Penciptanya.

Bagi generasi baharu, kemungkinan mereka tidak terlalu biasa dengan figura ini tetapi Suhaimi telah melakar nama di dunia seni sejak pada tahun 2000 lagi.

Berikut info perjalanan Allahyarham Suhaimi Saad dalam industri nasyid;

1. Allahyarham merupakan salah seorang ahli Inteam sehingga 2005 dan pada tahun yang sama juga Suhaimi membuat keputusan untuk berundur dari kumpulan itu untuk bergerak secara solo.

2. Suhaimi atau nama sebenarnya Muhd Suhaimi Saad sebelum ini terkenal dengan nama gelaran Suhaimi Inteam, namun selepas bergerak solo beliau mula dikenali sebagai Suhaimi Saad.

Baca juga Bekas penyanyi In-Team, Suhaimi Saad meninggal dunia pada usia 43 tahun. Punca pemergian belum dikenal pasti

3. Difahamkan, bekas penyanyi nasyid yang berusia 43 tahun itu mempunyai ijazah dalam pengajian Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

4. Anak kelima daripada enam adik beradik itu juga memiliki syarikat pengurusan sendiri, Karya Mosus dan mula menerbitkan album solo pertama berjudul Kias Cinta pada 2006.

5. Kemudian, beliau juga aktif menghasilkan lagu dengan album berjudul Kalamak pada tahun 2008, Zikir Selawat dan Doa pada 2013 dan Maksud Hidup pada tahun 2016.

6. Tidak dilupakan, anak kelahiran Pahang itu juga pernah menghasilkan enam buah album bersama Inteam iaitu Kasih Kekasih pada tahun 2000, Impian Kasih pada 2001 dan Damba Kasih pada 2003.

7. Selain itu, karya lainnya ialah In-Team ‘04 pada 2004, Allahu Rabbi pada tahun 2010 dan pada 2013 Iman dan Aman.

8. Menyentuh tentang pasangan, Suhaimi mendirikan rumah tangga pada 12 Ogos 2007 bersama Ina Naim yang juga merupakan bekas tunang kepada Asmawi Ani atau Mawi, juara Akademi Fantasia musim ketiga.

9. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.

10. Bagaimanapun selepas bertahun bergelumang dalam bidang muzik, Suhaimi menyatakan dirinya tidak mahu lagi bergelar penyanyi nasyid pada 2021.

Iklan

11. Suhaimi yang selesa digelar dengan namanya sendiri juga telah melakukan kerja sampingan seperti bekerja sebagai guru mengaji dalam talian, tukang urut dan perniagaan dalam talian bersama isterinya.

Baca juga ‘Dia nak umur hanya 43 tahun.’ Suhaimi Saad ‘pergi’ dengan mudah, ketenangan Ina Naim jentik hati warga maya

12. Suhaimi antara artis yang sering melakukan persembahan secara live dan beliau juga tidak pernah miming ketika menyanyikan lagu-lagunya di khalayak ramai.

13. Semasa merakamkan sebuah lagu, rekod paling pantas lagu itu siap dirakam adalah kurang daripada 10 minit, membuktikan beliau sememangnya penyanyi yang berkaliber, memetik Munsyeed.

Ketika dunia dilanda dengan wabak Covid-19 yang dahsyat, Suhaimi mula aktif di aplikasi TikTok dan sering melakukan siaran langsung (live) untuk bermesra dengan pengikutnya. Sejak itu, beliau rajin menyantuni warganet dan turut berkongsi tentang rutin harian selain ilmu tentang kisah-kisah nabi serta ilmu yang bermanfaat untuk semua.

Iklan

Warga maya turut mengakui terkesan dengan pemergiannya kerana sering menonton live yang dilakukannya di TikTok.

Jadi, mari kita semua sedekahkan surah al-Fatihah kepadanya, semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Sumber: Iluminasi, Siakap Keli

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!