PRIHATIN dengan nasib mangsa banjir yang terjejas teruk sejak beberapa hari lalu, pelakon dan usahawan Tya Ariffin turun padang memberikan bantuan.

Apatah lagi empat daripada kakitangannya yang berkhidmat di bawah Empayar Mutyara turut terlibat dengan bencana alam yang menimpa beberapa lokasi di Lembah Klang itu.

Menurut Tya, 27, dia dan suami, Asyraf Khalid bersimpati dengan apa yang berlaku dan cuba meringankan beban mereka dengan sedikit sumbangan.

“Niat saya dan suami adalah untuk menghulurkan sumbangan kepada para pekerja Mutyara serta keluarga mereka yang terkesan.

“Selain bantuan makanan dan keperluan asas, sumbangan wang ringgit juga turut saya salurkan kepada mereka,” katanya.

TYA berharap sumbangan ikhlas itu mampu mengukir senyum di wajah mangsa banjir yang terlibat.

Mengakui turut bergenang air mata saat melihat keadaan kediaman mangsa terlibat, menantu kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza ini tekad untuk terus menghulurkan bantuan menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Cahaya Mutyara yang digerakkannya beberapa bulan lalu.

“Ini merupakan tanggungjawab saya meringankan beban golongan yang memerlukan. Saya dan pekerja-pekerja di Wisma Mutyara hidup ibarat keluarga dan saling membantu antara satu sama lain.

“Lagi pun Cahaya Mutyara sememangnya diwujudkan untuk membantu masyarakat dengan pemberian sumbangan secara konsisten dan menyeluruh.

Iklan

“Insya-ALLAH, saya harap sumbangan ikhlas ini mampu mengukir senyum di wajah mereka,” ujarnya.

Terdahulu, Tya yang juga pengasas minuman kesihatan, Jus Mutyara itu memuat naik sebuah video di laman Instagram miliknya yang yang menunjukkan keadaan sebenar kediaman beberapa kakitangannya yang musnah akibat banjir.

Iklan

 

(FOTO: Empayar Mutyara)