Saling bermaafan tak jadi saman RM2.5 juta, kes Siti Nordiana dan 5 sekawan berakhir

SELEPAS dua tahun melalui prosedur yang panjang, kes saman fitnah RM2.5 juta yang dikemukakan penyanyi Siti Nordiana Alias, 39, atau Nana terhadap lima sekawan berakhir secara baik di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Ia berikutan penyanyi lagu Cinta Hanya Sandaran selaku plaintif dan lima sekawan itu bersetuju untuk menyelesaikan kes itu tanpa melalui perbicaraan yang lebih panjang.

Lima sekawan selaku defendan itu ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 38, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Semasa prosiding, peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik di luar mahkamah dan bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

Dalam prosiding itu, peguam Azlan Abdul Razak mewakili Lan Solo, Nur Sheila dan Syura. Peguam Nur Izzaida Zaman mewakili Razidah manakala peguam Fithril Hakim Ab. Jalil mewakili Sam Musyadzahar.

Baca juga Dakwaan fitnah Siti Nordiana – Lan Solo, Syura dan tiga yang lain serah kepada peguam

Selepas pihak-pihak bersetuju, Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan kemudian merekodkan penghakiman persetujuan selain turut melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Penghakiman persetujuan bermaksud kes diselesaikan luar mahkamah selepas pihak-pihak bersetuju dengan terma penyelesaian yang kemudian dibawa di hadapan hakim dan mahkamah cuma merekodkan persetujuan itu.

Dalam pada itu, antara pernyataan permohonan maaf kedua-dua pihak itu ialah “Permohonan maaf ini, adalah dibuat berdasarkan perhubungan persahabatan antara kami sebelum ini.

‘Dengan ini kami berharap agar persengketaan dan salah faham yang telah berlaku sebelum ini antara kami terhenti di sini dan biarlah menjadi sejarah pahit yang tidak akan berulang,” kata pernyataan itu.

Dalam perbicaraan sebelum ini antara saksi-saksi plaintif yang telah dipanggil memberi keterangan ialah Siti Nordiana sendiri, pengurusnya, Mohamad Al Anas Osman, wartawan kanan hiburan, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Baca juga Tiada permohonan maaf, Siti Nordiana bakal saman Lan Solo, Syura

Selain itu ialah pengarah sebuah syarikat penjenamaan A Geetharani dan peminat penyanyi itu Nur Afifah Balqis Mohd Zulqarnaen.

Iklan

Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan dua daripada lima individu yang disaman penyanyi Siti Nordiana untuk memindahkan prosiding perbicaraan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Dua individu yang membuat permohonan itu ialah Sam Musyadzafar dan Razidah.

Kedua-dua pemohon memfailkan permohonan itu pada 16 Disember 2021 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dengan menamakan Siti Nordiana sebagai responden.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Iklan

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.

Sumber: Kosmo!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!