PELAWAK Shuib menerusi siaran langsung di Instagram menyuarakan rindu yang terbuku buat arwah isterinya, Siti Sarah yang kembali ke rahmatullah pagi tadi.

Dalam Instagram siaran langsung yang disertai lebih 600,000 pengguna Instagram, Shuib berkongsi pelbagai perkara mengenai Siti Sarah yang disifatkan ‘tuah’ buat dirinya.

Sebelum itu, Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhamad mengakui tidak boleh tengok lama di laman sosial. Menerusi siaran langsung, beliau menzahirkan penghargaan buat semua.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kesudian kepada semua orang yang telah adakan bacaan Yassin, solat hajat kepada isterinya.

“Saya tahu setiap DM yang masuk itu adalah mendoakan saya, isteri saya. Saya nak minta maaf kalau tak sempat nak reply teks, Whatsapps. Saya tidak boleh nak angkat, tidak boleh nak jawab sekarang.

“Saya hargai setiap DM, setiap teks, setiap komen. Saya tahu semua benda itu adalah kerana kasih sayang, kerana doa, kerana nakkan isteri saya sihat,” katanya.

Baca juga Bakal Disemadikan Di Gombak, Shuib Tunai Hasrat Sarah

Suami kepada Siti Sarah ini juga mengimbas kembali kenangan sewaktu awal perkahwinan mereka pada 11 tahun yang lalu.

Pasangan selebriti itu juga pernah berniaga di tapak bazar Ramadan sebelum Shuib menyertai pertandingan program realiti. Perkongsian kisah daripada Shuib ini telah membuatkan warga maya turut serta dalam ‘live’ sebak dan menitiskan air mata.

“Isteri saya bukan milik saya, dia milik Allah. Allah pinjamkan sekejap je buat saya dalam 11 tahun. 11 tahun yang luar biasa untuk saya.

“Saya dengan tidak ada apa-apa. Saya tidak ada kereta pun. Saya duduk dengan isteri saya atas surat khabar buka puasa. Tapi dia cakap, ‘I akan ada dengan you, akan support you kat mana pun you berada’. Dia sentiasa support saya, doakan untuk saya.

Baca juga Siti Sarah ‘Pergi’ Setelah 65 Jam Ditidurkan, Berikut Kronologi Kehamilan Dan Jangkitan Covid-19 Dilaluinya

“Saya pernah buka gerai di bazaar Ramadan dan dia tolong berniaga sekali. Dia tak pernah malu pun. Sedangkan dia artis.

“Saya almost give up, tapi dia orang kat belakang saya cakap ‘you go, you can do it’. Apa yang saya ada, saya yang tumpang tuah dia. Tuah seorang isteri yang taat, yang tak pernah malu pun bersuamikan Shuib.

“Berbekalkan itu, saya ada kat mana saya sekarang. Saya bukannya hebat sangat. Yang paling penting, insya-ALLAH saya akan bantu semua orang.

Iklan

Dalam pada itu, Shuib turut menasihati pengikutnya terutama kepada golongan isteri untuk berbuat baik kepada suami dan keluarga. Katanya, seorang isteri mampu mengubah kehidupan suaminya menjadi lebih baik.

“Selama 11 tahun, saya tumpang luck dia. Selama 11 tahun saya kahwin dengan dia, dia tak pernah tanya duit saya.

“Saya tak pernah gaduh dengan dia nak balik kampung. Dia tak kisah pun. Yang penting dia happy, mak saya happy.

“Dia tak pernah tanya duit dalam akaun saya, dia tak pernah tanya pun duit saya pergi mana. Dia yang mengajar saya untuk tidak berkira-kira dengan duit.

“Dia nasihat saya untuk tidak berkira-kira dengan duit, bila kita berkira-kira dengan duit, kita akan berkira-kira dengan sedekah. Dia orang yang suka bersedekah. Kat sini saya nak bagi tahu, saya memang tak ada apa-apa. Saya tumpang luck dia. Dia bagi tips kepada saya,” kata Shuib.

Baca juga Shuib Lihat Air Mata Siti Sarah Mengalir Ketika Nazak, Saat Panggilan Video Terakhir

Iklan

Selain itu, bapa kepada empat cahaya mata itu juga turut berkongsi momen terakhir bersama isteri semasa pengebumian.

“Hari ni saya turunkan dia ke dalam liang. Saya yang turunkan dia, saya pegang pinggang. Dia cukup ringan.

“Saya tengok liang dia tak besar, dia turun ke liang tanpa sangkut. Dengan mudah. Saya masih rasa lagi kebesaran-NYA.

“Selesai pemergian dia yang cukup biasa bagi saya. Orang ramai masih tunggu dia sampai habis (pengebumian).

“Saya tak sangka, saya tak boleh tengok senyuman dia lagi,” ucap Shuib dalam ketabahan.

Shuib turut mengucapkan terima kasih kepada rakan artis dan peminat yang mendoakan buat arwah isterinya. Malah, dia turut memohon maaf kerana masih belum ada kesempatan untuk membalas mesej atau menjawab panggilan telefon.

Semoga roh Allahyarham Siti Sarah Raissudin dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Sumber: Instagram Shuib Sepahtu