PELAKON jelita, Daiyan Trisha mendedahkan dia disahkan positif virus pandemik, Covid-19 selepas menjadi kontak rapat kepada salah seorang kru produksi.

Menurut Daiyan atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, keputusan ujian calitan pertama yang dilakukan pada Khamis berstatus negatif.

Bagaimanapun disebabkan mula berasa tidak sedap badan dan perlu menghadiri beberapa majlis, selebriti berusia 28 tahun itu mengambil keputusan untuk melakukan ujian sekali lagi.

“Saya merupakan kontak rapat kepada seseorang dalam produksi yang disahkan positif.

“Sebaik mendapat tahu, saya turut melakukan ujian calitan pada hari sama dan keputusannya adalah negatif. Tetapi saya rasa tak sedap badan dan perlu menghadiri beberapa majlis semalam (Jumaat).

“Jadi saya pergi menjalani ujian calitan sekali lagi dan keputusan yang keluar, saya positif,” ujarnya menerusi akaun Instagram miliknya.

Tambah pelakon Sejuta Rasa Buat Adelia itu, dia terus menjalani kuarantin di rumah sejak disahkan positif.

Daiyan juga turut memohon maaf kepada sesiapa yang telah menjadi kontak rapatnya.

Iklan

“Set penggambaran saya pun dah berhenti penggambaran dan kami menjalani tempoh kuarantin 10 hari.

“Saya tidak mengalami simptom yang teruk, hanya migrain, sakit tekak dan pening kepala. Keadaan saya baik, alhamdulillah.

Iklan

“Saya minta maaf kepada yang jadi kontak rapat dan tolong buat ujian calitan dengan segera. Maaf jika saya menyebabkan kesusahan.

“Doakan saya cepat sembuh dan dapat bekerja semula sebab saya suka bekerja. Saya bersyukur atas ujian ini dan yakin semua yang berlaku ada hikmahnya,” akhirinya.