PENYANYI Zizi Kirana mengakui tahun 2020 menyaksikan kolaj pengalaman yang begitu mencabar buatnya. Bukan sahaja kerana pandemik yang melanda, tetapi dia juga kerana kehilangan insan-insan disayangi dalam masa sama.

Selain kehilangan peminat setia dan bapa angkatnya di Indonesia, Zizi juga begitu terkesan dengan pemergian sahabat kesayangannya, penyanyi Sandra Dianne yang meninggal dunia pada 11 September lalu.

Menurut Zizi, sehingga kini dia tidak mampu untuk menyanyikan lagu Terkemuka, single kolaboratifnya bersama Benzooloo dan Allahyarham Sandra sebelum ini.

“Baru-baru ini ada pihak yang mahukan saya dan Ben menyanyikan lagu itu dalam sebuah persembahan.

“Saya berbincang dengan Ben dan memberitahu sejak Sandra tiada, saya tidak mampu lagi menyanyikan lagu itu buat masa ini dan mungkin pada masa-masa akan datang juga.

“Biarlah ia menjadi kenangan terindah buat kami bersama arwah Sandra kerana itu sahaja yang kami ada untuk dia.

“Tentang buat lagu tribute untuk Sandra dan sebagainya, saya rasa tidak perlu. Sebagai sahabat, bagi saya kiriman doa adalah yang terbaik buatnya di sana,” ujar Zizi kepada SinarPlus.

Mengulas peningkatan kes positif Covid-19 yang semakin tinggi terutama di negeri kelahirannya, Sabah, Zizi tidak menafikan turut diburu kebimbangan tentang keadaan keluarganya di sana.

Iklan

“Alhamdulillah keluarga di Kota Kinabalu semuanya dalam keadaan baik. Cuma sanak-saudara yang berada di Pantai Timur Sabah seperti Semporna dan Lahad Datu agak terkesan kerana ada di antaranya yang dikenakan PKPD.

“Bila dalam keadaan begini, apa yang boleh kami lakukan hanyalah dengan mendoakan yang terbaik buat diri masing-masing. Sering bertanya khabar dan saling mengingatkan tentang pematuhan SOP dan sebagainya.

“Hari-hari buat panggilan video kerana nak tengok sendiri keadaan mereka OK atau tidak. Tapi yang lucunya ibu pula yang risau dengan keadaan saya yang bersendirian di Kuala Lumpur dan setiap hari asyik pesan itu dan ini,” kata Zizi.

Iklan

 

(FOTO: Instagram Zizi Kirana)