Serina nafi nikah di Siam, Chef Wan luah rasa kecewa
PELAKON dan pengacara, Serina Datuk Redzuawan menafikan dakwaan bapanya yang juga chef selebriti terkenal, Redzuawan Ismail, 63, atau lebih dikenali sebagai Chef Wan bahawa dia sudah bernikah di Siam, Thailand baru-baru ini.
Menurut Serina, 38, segala tuduhan yang dilemparkan kepada dia dan suami adalah tidak benar sama sekali.
“Saya nak jelaskan kekeliruan dan nak minta netizen jangan mudah nak hukum orang lain dengan menambah fitnah kepada saya dan suami.
“Lepas papa (Chef Wan) tulis dia tak tau kami nikah, dan dia kata kami kawin di siam itu adalah tidak benar, kami bernikah di sebuah negeri dalam Malaysia.
“Saya pun terkejut papa cakap kami kawin di Siam, fikirlah logik sempadan pun tutup mana ada buka.
“Secara jujur papa dah tau kami nikah, saya dah maklumkan pada papa, suami pun dah berjumpa dengan papa,” jelasnya.
Tambah Serina, dakwaan yang mengatakan suaminya yang dikenali sebagai Aidid merupakan suami orang juga tidak benar.
“Suami saya bukan suami orang, duda. Sebelum kenal saya pun mereka dah ada masalah perkahwinan jarak jauh dan mereka belum ada zuriat. Jangan menuduh suami saya yang tak benar.
Dalam pada itu, Chef Wan menerusi beberapa muat naik di akaun Instagramnya turut meluahkan rasa kecewa apabila anak sulungnya itu membelakangkan beliau sebagai bapa dan wali yang sah.
Katanya, biarpun sudah mengetahui lebih awal, namun dia tidak memberi apa-apa maklum balas.
“Bila saya terima ini (mesej) minggu lalu, saya tidak pernah beri balasan. Anda bacalah sendiri.
“Dia kata nikah di Perlis tidak berdaftar dan ada tiga ke empat orang mesej saya dan maklumkan mereka sudah bernikah di Siam, saya sangat terkejut.
“Cucuk (hasut) ke tidak, kahwin di Siam ke tidak, dia sudah bernikah tidak berdaftar. Saya keliru sekarang, mazhab mana yang mereka guna?
“Sebagai bapa, anda rasa yang tiada hak untuk mengetahui kebenarannya?
“Itu sebab lain kali Rina (merujuk kepada Serina), jika tak mahu orang memburukkan kau, fitnah itu dan ini, berlakulah jujur.
“Buat segala cara betul dan jangan sesekali membelakangkan mak bapak! Sendiri buat sendiri tanggunglah,” ujarnya.
Tambah Chef Wan, anaknya itu juga sudah beberapa tahun melukakan hatinya
Bagaimanapun dia tetap merestui perkahwinan Serina dan mendoakan anaknya itu.
“Ya saya maafkan keduanya sebagai ayah. Tetapi saya tidak akan melupakan apa yang kalian lakukan kepada saya,” akhirinya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang