Sharifah Amani kini suri hati Ahmed Faris

SHARIFAH AMANI
SHARIFAH AMANI
A
A
A

SELEPAS tiga bulan mengikat tali pertunangan, aktres Sharifah Amani Syed Zainal Rashid, 36, selamat bergelar isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Impact Integrated, Ahmed Faris Amir, 34, dalam satu majlis pernikahan tertutup, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara merangkap Penolong Pendaftar Nikah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee berwalikan bapa pengantin perempuan, Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin.

Pada majlis berkonsep rona putih dihadiri 200 tetamu itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Antara rakan yang hadir adalah Vanidah Imran, Bront Palarae, Iedil Dzuhrie Alaudin, Nadia Aqilah, Nadiya Nisaa, Sherry Alhadad dan Sangeeta Krishnasamy.

Anggun mengenakan persalinan rona putih rekaan Tangsi Tujuh dan ditata rias adik bongsu, Sharifah Aryana, Sharifah Amani yang mesra disapa Nani, bersyukur perancangan hari bahagia sejak beberapa bulan lalu, lancar.

“Alhamdulillah, di sebalik ujian pandemik Covid-19 melanda dunia sejak dua tahun lalu, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan.

“Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami sebagai pasangan suami isteri yang sah.

“Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami... Insya-Allah,” kata anak kepada pelakon dan guru lakon, Fatimah Abu Bakar itu.

Berkongsi detik perkenalan, Amani berkata, mereka bertemu tiga tahun lalu ketika dia memikul tugas sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah organisasi diketuai Ahmed Faris.

“Dipendekkan cerita, selepas Covid-19, masing-masing solo. Cinta bertandang tanpa diduga hingga akhirnya kami diizinkan bertemu jodoh,” jelas pelakon yang mula dikenali menerusi filem Sepet itu.

Diusik dengan keperibadian suami yang berjaya menawan hatinya, Amani berkata, kebijaksanaan Ahmed Faris telah memikat cintanya.

“Suami tangkas dalam setiap gerak-geri. Dia pandai dan bijak mengambil hati saya.

“Malah, pada masa sama, suami sering buat saya tergelak dan mudah terhibur. Apa yang buat kami serasi, dia adalah antara kawan lepak yang ‘sempoi’ dan terbaik,” ujarnya yang belum merancang soal bulan madu dan bersedia untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

Jun lalu, Amani yang meraih trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-19 melalui filem Gubra pada 2006, bertunang dengan Ahmed Faris.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca